DAP akan undi bantah hudud, tak perlu sertai kempen MCA

DAP akan undi bantah hudud, tak perlu sertai kempen MCA

Anthony berkata, ia bagi mengelakkan wujud situasi golongan bukan Islam menentang umat Islam.

Anthony-Loke
PETALING JAYA: Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berpendapat, parti itu tidak perlu menyertai kempen rakyat anjuran MCA untuk menghalang PAS membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 di Parlimen.

Beliau yang dipetik China Press semalam sebagai menjelaskan, ia bagi mengelakkan wujud situasi golongan bukan Islam menentang umat Islam.

Sebaliknya beliau berkata, wakil rakyat DAP akan mengundi untuk membantah usul itu jika ia sekali lagi dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat nanti.

Anthony juga berharap MCA akan kekal dengan pendirian mereka dan jika RUU itu diluluskan Parlimen, selain meletak jawatan dalam Kabinet, MCA juga perlu mempertimbangkan untuk keluar daripada BN.

“Ini nampak seperti permainan politik UMNO, jadi DAP tidak nampak ada keperluan untuk berganding dengan MCA bagi menentang pembentangan usul itu di Parlimen bagi mengelakkan wujud situasi bukan islam melawan orang Islam,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pemimpin MCA dan GERAKAN bahawa punca Pakatan Rakyat dibubarkan disebabkan DAP tetap dengan pendiriannya tidak menyokong PAS membentangkan usul RUU itu di Parlimen.

“MCA perlu faham PAS hanya mempunyai 14 ahli Parlimen, jika bukan UMNO yang meluluskan usul PAS itu keadaan tidak akan jadi seperti ini, pihak yang memperkasakan PAS adalah UMNO bukannya DAP,” tegasnya.

Ketua Whip DAP itu mendakwa UMNO dengan jelas telah mengkhianati semangat BN kerana tanpa persetujuan parti itu, RUU persendirian yang dibentangkan parti pembangkang tidak mungkin diluluskan Parlimen.

Menurutnya, jika MCA membantah RUU hudud tetapi menyokong calon BN di PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar, ia menunjukkan MCA sekadar bermain wayang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.