Tiada hasrat ‘bakar jambatan’ dengan PAS – PKR

Tiada hasrat ‘bakar jambatan’ dengan PAS – PKR

Matlamat utama tetap mewujudkan blok pembangkang yang kuat bagi mengalahkan BN, katanya.

Datuk-Saifuddin-Abdullah

PETALING JAYA:
Pakatan Harapan tetap dengan matlamatnya untuk mewujudkan blok pembangkang yang lebih kuat dan besar bagi melawan BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Menurut Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah, untuk mencapai matlamat itu, PKR sebagai salah satu komponen Pakatan akan meneruskan ‘tahaluf siyasi’ dengan PAS.

“Ia umpama jambatan, nak guna atau tidak jambatan itu soal lain. Tetapi pada masa ini, PKR dan juga Pakatan Harapan tidak berhasrat untuk membakar jambatan (dengan PAS).

“Saya berharap kita dapat hadapi PRU ke-14 dengan lapang dada dan jiwa besar. Yang penting adalah matlamat bersama iaitu mengalahkan BN,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas desakan Ketua Pemuda PAS Pusat Nik Abduh Nik Aziz semalam agar kepimpinan parti itu mengambil semula kerusi yang ‘dipinjamkan’ kepada PKR dan DAP dalam Pilihan Raya lalu.

Tambahnya lagi, kedudukan dan susunan kerusi Parlimen dan DUN pada PRU ke-14 tidak semestinya sama dengan PRU lalu atas pelbagai faktor, antaranya kewujudan Amanah dan keberadaan PAS dalam kerajaan Selangor.

Sejurus selepas desakan Pemuda PAS itu, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu akan mengkaji cadangan tersebut dan akan menelitinya bersama ‘rakannya, PKR’.

Dalam pada itu, Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan Anthony Loke dalam satu kenyataan membidas kenyataan Nik Abduh dan berkata DAP tidak pernah ‘meminjam’ mana-manak kerusi daripada PAS.

“Sebagai seorang agamawan, beliau perlu lebih bertanggungjawab dalam kenyataan. Hujahnya tidak disokong dengan fakta dan satu cubaan untuk menimbulkan persepsi negatif dan mengelirukan ahli akar umbi parti itu kononnya hanya PAS sahaja yang berkorban ketika dalam Pakatan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Walhal, katanya lagi, PAS juga menikmati manfaat hasil kerjasama tersebut, antaranya berjaya memenangi kerusi yang tidak pernah dimenangi mereka terutama di Perak, Selangor dan Johor, serta peranan Reformasi 1998 dalam meletakkan parti itu dalam politik arus perdana negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.