Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan Tantawi membuat desakan itu selaras pendekatan budaya dan politik matang yang diperkenalkan presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata, golongan ulama PAS sepatutnya menunjukkan akhlak terpuji dengan menggunakan pendekatan Islam dalam siri ceramah politik.
“Seolah-olah perjuangan kita ini kecil apabila hanya bantai UMNO, BN. Kita alim ulama sepatutnya praktis (politik matang dan tidak melihat musuh politik hanya UMNO dan BN semata-mata).
“Kenapa (ulama) tidak bercakap pasal agenda, matlamat, hala tuju, tawaran, gagasan PAS kepada rakyat untuk tunjukkan kecantikan Islam tanpa perlu menghabiskan 40-50% ceramah politik dengan memaki hamun pihak lain (musuh politik).
“Kemungkaran yang dilakukan pihak lawan perlu dibalas dengan fakta, bukannya dibalas dengan emo dan tidak terkawal. Ini bukan budaya yang sepatutnya kita praktis,” katanya semasa berucap pada Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS ke-55 di Tok Bali hari ini.
Nasrudin yang juga Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat berkata, politik matang yang perlu diamalkan ahli parti ialah menunjukkan akhlak baik kepada musuh sekaligus rakyat mengenai cara PAS memimpin.
