Terbaru, satu berita bertajuk ‘Sultan Mizan Kembalikan Darjah Kebesaran Kepada MB Terengganu’ dalam laman sosial Whatsapp disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Difahamkan, berita yang kononnya ditulis oleh wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) disahkan palsu oleh Ahmad Razif sendiri yang segera meminta ia dihentikan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.
“Berita berkenaan sudah dinafikan oleh BERNAMA, jadi ia sudah dianggap selesai.
“Malah, saya anggap fitnah sebegini adalah perkara biasa dalam dunia politik yang dilakukan oleh pihak yang tidak senang dengan kestabilan politik di negeri ini,” katanya selepas Majlis Penutupan Kembara Muda Rakyat Kali Ke-3 2016, anjuran Yayasan Bank Rakyat di Kampung Teluk Ketapang,semalam, lapor Berita Harian.
Katanya, buat masa ini, beliau hanya menumpu pada tanggungjawabnya sebagai Menteri Besar dan terus maju menjalankan gerak kerja membangunkan negeri itu demi memastikan rakyat mendapat manfaatnya.
“Saya difahamkan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah membuat siasatan mengenai perkara ini,” katanya.
