Sanjeevan: Berita saya ditahan mengarut

Sanjeevan: Berita saya ditahan mengarut

Selepas serbuan khalwat di sebuah hotel di Seremban, pengerusi MyWatch itu nafi polis wanita berkenaan bertemu dengannya.

Sanjeevan_polis_600

PETALING JAYA:
Pengerusi MyWatch R Sanjeevan menafikan laporan media hari ini berhubung beliau ditahan polis susulan serbuan khalwat terhadapnya di sebuah hotel di Seremban.

Sanjeevan memberitahu FMT pasukan serbuan berkenaan yang terdiri daripada polis Bukit Aman dan pihak berkuasa agama Negeri Sembilan, meninggalkan hotel selepas mendapati tiada apa-apa yang tidak kena.

“Jadi semua cakap-cakap fasal saya ditangkap mengarut. Lebih pun tidak ada asas untuk menangkap saya,” katanya.

Katanya, laporan itu adalah satu lagi cubaan untuk mencemarkan imejnya selepas laporan terdahulu menyatakan pihak berkuasa mencarinya untuk ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah.

Semalam, Sanjeevan yang juga bekas ahli PKR menafikan khabar angin beliau bertemu seorang anggota polis wanita seperti didakwa menerusi pesanan mesej mengenai serbuan khalwat yang kemudian menjadi viral.

Mesej itu mendakwa polis wanita berkenaan mengaku bertemu Sanjeevan tetapi tiada hubungan intim berlaku.

Sanjeevan berkata pengakuan anggota polis wanita itu bertemu dengannya adalah “terang-terangan dusta”.

Star Online awal hari ini melaporkan Sanjeevan dan anggota polis wanita berpangkat inspektor dari Jempol itu ditemui dalam dua bilik bersambung di hotel di Seremban oleh pasukan penguat kuasa.

Bagaimanapun mereka tidak ditahan. Sanjeevan dilaporkan berada dalam bilik 1002 sementara inspektor yang tidak dinamakan itu di bilik 1003 ketika pegawai penguat kuasa mengetuk pintu bilik hotel pada jam 1.30 pagi Jumaat.

Selepas 10 minit, inspektor berkenaan membuka pintu bilik 1002. Beliau berpakaian lengkap dan bertudung. Pakaian dalam kelihatan di kerusi, menurut Star Online memetik laporan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman.

Sanjeevan berada di bilik bersebelahan, berpakaian lengkap dan bersendirian.

Star Online memetik Ketua Polis Daerah Muhammad Zaki sebagai mengesahkan laporan Bukit Aman itu dan melaporkan inspektor wanita terbabit dipindahkan, tetapi pemindahan itu tidak ada kaitan dengan kes berkenaan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.