Pemandu treler positif dadah, 3 maut nahas di Segamat

Pemandu treler positif dadah, 3 maut nahas di Segamat

Lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine.

kemalangan segamat
Sebuah treler melanggar belakang sebuah van sebelum kenderaan itu masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar bahagian depan lori. (Gambar JBPM)
JOHOR BAHRU:
Tiga individu maut, manakala dua lagi cedera ringan dalam nahas tiga kenderaan di KM212, Jalan Johor Bahru-Seremban berdekatan persimpangan Taman Golden Hill, Gemas Baharu, petang semalam.

Ketua Polis Johor Ab Rahaman Arsad, berkata kejadian pada 3.45 petang itu dipercayai berlaku apabila sebuah treler dipandu seorang lelaki tempatan melanggar bahagian belakang sebuah van dinaiki mangsa.

“Akibat pelanggaran itu, van berkenaan hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar bahagian hadapan sebuah lori,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, tiga mangsa yang berada di dalam van disahkan maut di lokasi kejadian akibat parah.

Ab Rahaman berkata, dua lagi penumpang van mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Segamat untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala pemandu lori dan treler tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, pemandu treler telah ditahan bagi membantu siasatan dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine.

Kes disiasat disiasat mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian, serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan.

Pemandu treler akan dibawa ke Mahkamah Majistret Segamat pagi ini untuk permohonan reman dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan.

Sementara itu, Bomba Johor dalam kenyataan memaklumkan panggilan kecemasan diterima pada 4.24 petang sebelum sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian.

Komander Operasi Zainal Abidin Che Deraman, berkata setibanya di lokasi pada 4.55 petang pihaknya mengesahkan kemalangan melibatkan sebuah van, sebuah lori treler jenis Volvo dan sebuah lori 10 tan, dengan tujuh mangsa terbabit.

“Kerja-kerja menyelamat mangsa yang tersepit serta pembersihan kawasan kemalangan dilakukan dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 5.35 petang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.