PAS lapor SPR, dakwa AMANAH guna logo ubah suai

PAS lapor SPR, dakwa AMANAH guna logo ubah suai

Tindakan itu bukan untuk menganiaya mana-mana pihak, sebaliknya hanya mahu mendapatkan penjelasan.

Amanah
KUALA KANGSAR: PAS akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) petang ini kerana mendapati AMANAH melanggar peraturan pilihan raya berhubung warna benderanya.

Pegawai Perundangan PAS Parlimen Kuala Kangsar Mohd Zamri Ibrahim berkata warna bendera yang digantung AMANAH di Kuala Kangsar berbeza dengan warna yang terdapat dalam laman web SPR.

“Saya dihubungi wakil calon PAS, Ali Juhari Ahmad berhubung perkara ini. Jika disemak dalam laman web SPR, logo mereka berwarna oren dan latar belakang putih. Tetapi pada bendera yang digantung, ia terbalik.

“Maka kami bertemu dengan pegawai pilihan raya SPR bagi PRK Kuala Kangsar dan beliau meminta kita membuat laporan rasmi berhubung kesalahan ini,” katanya pada sidang media di Pejabat Daerah Kuala Kangsar hari ini.

Beliau berkata tindakan tersebut tidak berniat untuk menganiaya mana-mana pihak, sebaliknya hanya mahukan penjelasan SPR.

“Tataetika pilihan raya tidak menyebut sama ada parti politik boleh mengubah logo atau tidak. Kita cuma mahu tanya kepada SPR.

“Ini boleh menjadi rujukan dan duluan yang baik. Jika tidak mana-mana parti atau calon boleh akan mengubahsuai logo mereka pada masa akan datang,” katanya.

Beliau memetik kes pada PRU lalu apabila mendakwa calon bebas bagi Parlimen Ipoh Barat menggunakan logo kuda berbeza dengan yang ditetapkan SPR, dan akhirnya diarahkan menurunkan logonya.

Beliau berkata, perbezaan tersebut hanya pada bendera parti, manakala logo di papan tanda dan poster masih menggunakan warna yang sama dengan logo rasmi.

“Saya pun tidak pasti mengapa ada dua versi yang berbeza,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.