Indonesia: Singapura tiada hak ambil tindakan isu jerebu

Indonesia: Singapura tiada hak ambil tindakan isu jerebu

Singapura mengumumkan waran tangkap ke atas seorang pengarah syarikat Indonesia, tetapi Jakarta berkata ia menunjukkan Singapura tidak menghormati negara lain.

jerebu

PETALING JAYA:
Jakarta tidak akan membenarkan Singapura membicarakan salah seorang rakyatnya yang dituduh terlibat dalam kebakaran hutan tahun lalu, kata Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla.

“Sekiranya kesalahan dilakukan, Singapura boleh mengambil tindakan, tetapi (kesalahan itu) berlaku di Indonesia, itu yang menjadi masalahnya,” beliau dipetik akhbar Singapura The Straits Times.

Ini susulan Agensi Alam Sekitar Kebangsaan Singapura yang mengumumkan mendapat waran mahkamah ke atas seorang pengarah syarikat Indonesia, di bawah akta Akta Pencemaran Jerebu Melangkaui Sempadan.

Singapura dilaporkan mahu mengambil tindakan ke atas syarikat bertanggungjawab dalam pembakaran hutan di Indonesia yang mengakibatkan asap tebal melanda beberapa negara Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, Siti Nurbaya Bakar, turut bersetuju dengan Kalla.

Menurutnya, Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Melangkaui Sempadan merupakan perjanjian multilateral dan bukan dua-hala antara Jakarta dan Singapura.

“Singapura tidak boleh terus melangkah ke dalam wilayah perundangan Indonesia,” kata Siti.

Katanya, Akta Pencemaran Jerebu Melangkaui Sempadan Singapura merupakan undang-undang kontroversi yang masih dibincangkan pegawai Asean dari Singapura, Brunei, Indonesia, Malaysia dan Thailand.

Oleh itu, tindakan Singapura di bawah akta tersebut tidak menunjukkan sifat saling menghormati terhadap Indonesia, tambah Siti.

Beliau turut berkata Indonesia sudah pun mengambil tindakan ke atas syarikat bertanggungjawab dalam kebakaran hutan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.