Nga Kor Ming: Apa salahnya percaya Tuhan?

Nga Kor Ming: Apa salahnya percaya Tuhan?

Imej 'In God we trust' tiada kaitan dengan Hari Raya, sekadar memupuk Rukun Negara pertama dalam kalangan pembacanya

nga-kor-ming-1

PETALING JAYA:
Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming mendakwa cogan kata “In God we trust” yang dimuatnaik bersama ucapan Hari Raya beliau bertujuan memupuk prinsip Rukun Negara yang pertama – Kepercayaan kepada Tuhan.

Menafikan gambar itu bertujuan menghina Aidilfitri, Ahli Parlimen Taiping itu mengesali muatnaik 5 Julai lalu itu mencetuskan salah faham.

“Maksud sebenar posting itu adalah untuk memupuk Rukun Negara kita yang pertama iaitu Kepercayaan kepada Tuhan (Believe in God),” jelas Kor Ming.

Gambar tersebut memaparkan cogan kata ‘In God we trust’ (menaruh kepercayaan kepada Tuhan) berlatarkan rumah api, matahari terbenam dan bendera Amerika Syarikat berkibar di langit.

Ia turut memaparkan emoticon tangan bertemu tangan dan ayat ‘Lord, guide our nation back to you’ (Tuhan, bimbinglah negara kami kembali pada-Mu) tertera padanya.

“Apa salahnya bila kita percaya kepada Tuhan?” jawabnya kepada FMT. Kerana muatnaik itu pemimpin DAP itu digelar ‘bodoh’ dan ‘tidak sensitif’ oleh pengkritiknya.

Gambar itu dimuatnaik bersama pautan pada video Aidilfitri dan ucapan raya yang ringkas: ‘We serve to bless others, we are from the people, by the people & for the people. Selamat Hari Raya’ (Khidmat kami berkati rakyat, kami dari rakyat, oleh rakyat & untuk rakyat).

Kor Ming mengeluh sikap pengkritik yang menyerangnya tanpa menonton video Aidilfitri yang menurutnya memupuk keharmonian agama dan perpaduan nasional.

Video yang dimaksudkan itu memaparkan beliau beramah-mesra dan menyerahkan sumbangan kepada orang-ramai, dengan iringan lagu kempen DAP Sarawak 2016 berjudul Sinar Impian.

“Oleh demikian, saya berasa amat kesal bila ada pihak yang sengaja memutar belit posting itu tanpa menonton video tersebut sebaliknya membuat pelbagai tuduhan dan tohmahan yang tidak berasas walaupun pada bulan Syawal,” katanya.

Terbaru, Kor Ming sekali lagi dikritik selepas dikaitkan kepada satu karikatur 6 Julai lalu yang memaparkan kanak-kanak sedia menerima ‘dedak’ (sumbangan) jika tiada duit raya diberikan.

Istilah ‘dedak’ sering dikaitkan dengan sogokan politik.

Dua badan bukan kerajaan membuat laporan polis terhadapnya, dan pemimpin DAP itu kini berdepan siasatan pihak berkuasa.

“Tindakan beliau itu bukan bermaksud dia tidak menghormati (umat Islam),” kata Naib Pengerusi DAP Kebangsaan Teresa Kok.

“Kita dalam politik atau perniagaan mesti hargai jenaka. Bosanlah kalau gurauan macam ini tak boleh.

“Kita (pemimpin DAP) ada tanya dia (Kor Ming) dalam ‘chat group’ dan dia ada terangkan ucapan itu diputar belit dan salah faham,” jelasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.