Hasan, kini pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), berkata tuduhan Lee berhubung penjualan sebidang tanah 14 tahun lalu berniat jahat dan merupakan percubaan untuk memburukkan namanya.
“Ternyata, Chean Chung berniat jahat dan cuba memburukkan nama saya kerana fakta dinyatakan tidak benar,” katanya kepada FMT ketika diminta mengulas keengganan Lee untuk memohon maaf.
Hasan turut mempersoalkan dakwaan Lee yang beliau merupakan timbalan menteri besar Pahang ketika tanah itu dibeli.
“Pada tahun 2002, saya tidak lagi menjadi timbalan menteri besar Pahang. Semasa membeli tanah tersebut dengan Pasdec Holdings Bhd (anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang), tanah tersebut bukan ‘Malay reserve’ dan keluasannya tidak seperti dinyatakan.
“Saya tidak ada kepentingan dalam Pasdec. Semasa membeli tanah tersebut, saya bukan ahli lembaga pengarah Pasdec,” katanya.
Lee mendakwa Hasan membeli sebidang tanah dengan harga bawah paras pasaran sebelum menjualnya kepada pembeli bukan Bumiputera.
Katanya, tanah milik persendirian itu dibeli pada 2002 dengan harga RM76,499, walaupun nilai tanah berkenaan pada masa itu, berdasarkan penilaian duti setem, ialah RM213,000.
Lee semalam berkata beliau tidak akan memohon maaf.
Mengulas lanjut, Hasan berkata jual beli tanah tidak seharusnya dilaporkan kepada akhbar.
“Jual beli saya adalah satu proses perniagaan biasa. Sudah tentu nilai harga pada 2002 lain dari 2004.
“Oleh kerana dia tidak akan meminta maaf, saya akan teruskan tindakan mahkamah ke atas beliau,” katanya.
