
Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata isu ketum harus dilihat secara menyeluruh dan perlu dinilai keburukan dan kebaikannya terlebih dahulu.
“Tidak semua perkara harus kita tangani dengan fatwa. Saya rasa banyak perkara kita harus melihat kebaikan dan keburukannya.
“Malah, dalam kerangka banyak aspek, kemudaratan, dari segi kesihatan, struktur negara dan masyarakat ini akan terjejas kalau kenalkan sesuatu polisi dalam isu ketum dan sebagainya,” katanya ditemui pemberita hari ini.
Asyraf berkata walaupun Jawatankuasa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam boleh berbincang mengenai isu ketum, beliau percaya pandangan diberikan tidak bersifat fatwa yang mengikat.
“Kena lihat secara holistik bukan tangani melalui fatwa semata mata. Harus lakukan satu anjakan paradigma dalam pemikiran kita.
“Ia supaya kita tidak bercakap soal hukum sahaja seperti halal haram dalam menyelesaikan masalah-masalah dihadapi umat dan masyarakat,” jelas Asyraf yang juga menguruskan hal ehwal agama Islam.
Semalam, Pengerusi Pertubuhan Peladang Perak, Datuk Seri Dr Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar menggesa majlis fatwa mengadakan perbincangan bersama pakar perubatan serta pemimpin masyarakat mengenai penanaman ketum berskala besar di negara ini.
Katanya, ia perlu dilakukan memandangkan isu ketum ini boleh menimbulkan kontroversi dan dilihat agak sensitif.