Pelajar Hindu USM kesal konvo sehari sebelum Deepavali

usm

PETALING JAYA: Tarikh konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM) yang ditetapkan sehari sebelum sambutan Deepavali dibantah bakal graduan beragama Hindu.

FMT difahamakan, susulan aduan dan bantahan, USM sedang menimbang mengubah tarikh tersebut supaya tidak terlalu hampir dengan sambutan keagamaan itu.

Menurut laman rasmi USM, Canselor, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail memperkenankan Upacara Konvokesyen Ke-54 pada 24 hingga 28 Oktober, 2016. Deepavali pada tahun ini jatuh pada 29 Oktober.

Beberapa pelajar dihubungi FMT berkata keputusan menetapkan tarikh itu tidak wajar dan menyusahkan mereka yang perlu membuat persiapan Deepavali, terutama yang tinggal di luar Pulau Pinang.

Sangkara Arivalakan, pelajar jurusan Komunikasi yang bakal bergraduasi memberitahu FMT, USM sepatutnya peka sebelum menetapkan sesuatu tarikh.

“Ia akan menyusahkan kita kaum India kerana sehari sebelum perayaan, kita kena lakukan upacara sembahyang bagi mereka yang sudah meninggal dunia, persiapan raya dan sebagainya.

“Kalau tarikh terlalu dekat, macam mana kami hendak lakukan semua ini, ditambah pula kalau orang macam saya tinggal di Johor kena bergegas balik dari Pulau Pinang. Memang tak sempat,” katanya.

Sangkara yakin ramai pelajar Hindu tidak akan hadir konvo kali ini kerana perlu menghadiri upacara sembahyang sehari sebelum Deepavali di samping persiapan sambutan.

Beliau menggesa USM mengadakan konvokesyen pada November sebagaimana tahun sebelumnya.

“Kita semua jangkakan USM akan buat pada bulan November dan kita semua sudah buat persiapan, tapi bila dah tukar semua lari daripada jangkaan kami,” katanya, dan menambah ia perlu diadakan jauh daripada perayaan itu.

Shanthi Thirumoorty berkata beliau sudah tawar hati menghadiri konvokesyen kali ini.

“Kalau ada jarak sehari dua kami boleh terima lagi tetapi ini betul-betul sehari, kami sekarang ini sudah tidak ada hati nak konvo,” kata bakal graduan jurusan pengurusan itu kepada FMT.

Katanya aduan mereka tidak mendapat respon.

“Kami sudah hubungi USM, bila kami hubungi mereka kata tak tahu, takkan kami nak hubungi canselor terus, mana boleh?” kata Shanthi.

“Siapa tak nak konvo sebab kita belajar bertahun, nak merasa pakai jubah, pegang ijazah. Saya merayu supaya USM ubah tarikh,” katanya.