‘Hendak rampas Shah Alam bukan dengan menawan golongan hipster’

jeniri-amir-umno-1

PETALING JAYA: Umno tidak akan berjaya merampas kembali kerusi Parlimen Shah Alam dengan hanya cuba menawan hati golongan hipster.

Penganalisis politik, Jeniri Amir berkata ia adalah tugas “amat mencabar” untuk Umno merampas kerusi itu kerana banyak faktor perlu diambil kira.

Antaranya, Jeniri berkata pemimpin Umno perlu dilihat sebagai orang yang prihatin terhadap keperluan rakyat, bukannya “menjauhkan diri”.

“Pun begitu, tiada jaminan mereka boleh menang (di Shah Alam) kerana rakyat mungkin mahu sebuah kerajaan semak dan imbang.

“Bagaimanapun, mereka mungkin hanya anti-golongan berkuasa atau sekadar dalam kalangan orang yang mahu menukar kerajaan sedia ada,” katanya kepada FMT.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini menasihatkan pemimpin Umno bahagian menawarkan perkhidmatan yang sesuai dengan budaya hipster untuk merampas Shah Alam daripada kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan dan PAS.

Budaya hipster merujuk gaya hidup masyarakat kelas pertengahan yang majoritinya ialah penduduk bandar.

Zahid menggesa pemimpin Umno bahagian menggunakan strategi budaya hipster untuk menawan kembali kerusi Parlimen Shah Alam.

Kerusi itu dimenangi bekas pemimpin PAS, Khalid Abdul Samad yang kini bersama Amanah, sejak pilihan raya umum 2008.

Jeniri bagaimanapun berkata, ia masih penting untuk mana-mana parti politik memahami keperluan dan kehendak belia bandar, dan pendekatan perlu diambil sejajar perubahan psikologi golongan pemuda terbabit.

Pensyarah Universiti Malaysia, Prof Madya Awang Azman Awang Pawi yang sependapat dengan Jeniri berkata, terdapat banyak faktor lain yang perlu diambil kira untuk Umno menang di Shah Alam.

“Kenaikan kos sara hidup, isu 1MDB yang ramai anggap satu kontroversi serta persepsi awam mengenai integriti dan ketelusan tadbir urus juga adalah isu.

“Isu berkenaan masih wujud dalam fikiran rakyat, apatah lagi golongan belia. Usaha menyelesaikan isu ini tidak kurang pentingnya untuk mengembalikan keyakinan rakyat Shah Alam,” katanya kepada FMT.

Awang Azman mengakui “menawan hati” belia merupakan langkah baik, tetapi terdapat banyak perkara lain yang masih perlu dilakukan.

Khalid berkata, kerajaan negeri Selangor serta isu yang memberi kesan kepada negara mempunyai kaitan secara langsung dengan gaya hidup dan tabiat mengundi penduduk di kawasan Parlimen itu.

“Jika mereka (pemimpin Umno) merancang untuk menang di Shah Alam, maka mereka perlu merampas (tampuk pemerintahan) kerajaan negeri,” katanya yang mendakwa Umno ketika memimpin negeri itu dahulu, tidak menjaga rakyat di Selangor.

Beliau berkata pengundi Shah Alam mahu wakil rakyat di peringkat pusat bersuara menentang rasuah.

“Saya tidak nampak bagaimana mereka dapat memenangi Shah Alam kembali kerana masih menyokong pentadbiran rasuah.

“Mereka perlu merombak keseluruhan falsafah Umno yang merupakan salah satu feudalisme dan rakyat perlu mendiamkan diri serta menuruti pemimpinnya,” katanya.

Pautan:

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/08/04/hipster-kegilaan-baharu-meresap-poket-melayu/