Penganjur #TangkapMO1 tetap mahukan Dataran Merdeka

Anis Syafiqah Md Yusof

PETALING JAYA: Himpunan #TangkapMO1 akan tetap berjalan di Dataran Merdeka, walaupun dinasihati Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar supaya mencari kawasan lain.

Bercakap kepada FMT, jurucakap #TangkapMO1 Anis Syafiqah Md Yusof berkata kawasan himpunan tidak akan berubah.

Ini kerana Dataran Merdeka, mercu tanda semua rakyat Malaysia, milik rakyat Malaysia, katanya.

Beliau menambah mana-mana orang yang menyertai tunjuk perasaan aman itu berhak berhimpun secara aman dan diberi jaminan tiada kejadian tidak diingini akan berlaku.

“Kami hanya mahu berhimpun dan beritahu pihak berkuasa supaya tangkap Malaysian Official 1. Kami bukannya berhimpun untuk buat huru-hara.”

Sementara itu, Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah, yang juga akan menyertai tunjuk perasaan itu nanti turut sependapat.

“Pandangan saya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu benarkan acara berkepentingan awam diadakan di Dataran Merdeka.”

Beliau berkata Dataran Merdeka kawasan yang penting untuk semua rakyat Malaysia dan lambang kemerdekaan.

Beliau menambah selagi siswa tidak dibenarkan melangkah masuk kawasan padang Dataran Merdeka, maka DBKL tidak boleh nafikan hak mereka untuk berhimpun.

Awal hari ini, media melaporkan Khalid memberitahu penganjur #TangkapMO1 supaya mencari kawasan alternatif selepas pemilik Dataran Merdeka, DBKL tidak mengizinkan himpunan diadakan di situ.

Maka, menurut Khalid, menganjurkan himpunan di situ merupakan satu kesalahan.

Memandangkan tempoh waktu yang singkat, Khalid berkata polis akan cuba membantu penganjur sekiranya mereka berjaya dapatkan kawasan lain.

#TangkapMO1 dirancang diadakan pada 27 Ogos di Dataran Merdeka dan dianjurkan oleh kumpulan siswa.

Mereka menyasarkan kira-kira 10,000 peserta untuk menyertai tunjuk perasaan mendesak pihak berkuasa menangkap dan mendakwa Malaysian Official 1 (MO1).

MO1 disebut dalam saman yang dibuat Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) yang mahu merampas aset yang didakwa dibeli oleh sekumpulan individu menggunakan wang yang didakwa dilesapkan daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).