26 Oktober: Permohonan Najib, Rosmah gantung prosiding kes saman Rafizi

26 Oktober: Permohonan Najib, Rosmah gantung prosiding kes saman Rafizi

Dalam saman fitnah tersebut, perdana menteri suami isteri menamakan Rafizi Ramli dan pemilik portal 'Media Rakyat' Chan Chee Kong sebagai defendan.

Rafizi-Ramli_najib_rosmah_600
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 26 Oktober untuk mendengar permohonan Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor bagi menggantung prosiding kes saman mereka terhadap Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dan satu pihak lagi berhubung isu subsidi minyak.

Timbalan Pendaftar Nurul Ain Hamzah menetapkan tarikh itu di dalam kamar dengan dihadiri peguam Nik Alia Nik Hanafi yang mewakili perdana menteri dan isteri selaku plaintif.

Dalam saman fitnah tersebut, pasangan itu menamakan Rafizi dan pemilik portal ‘Media Rakyat’ Chan Chee Kong sebagai defendan.

Peguam Joanne Leong mewakili Chan manakala Ng Siau Sun bertindak bagi pihak Rafizi.

Joanne ketika ditemui pemberita berkata kedua-dua plaintif memohon untuk menggantung prosiding kes saman itu sehingga rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini didengar di Mahkamah Rayuan pada 28 November.

Najib dan Rosmah merayu terhadap keputusan Hakim Datuk Noraini Abdul Rahman yang menolak permohonan mereka bagi memadamkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan kedua-dua defendan pada 15 April lepas.

Mereka memohon memadamkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan itu atas alasan pembelaan kedua-dua defendan bukan satu komen berpatutan, sebaliknya ia fakta.

Pada 16 April 2015, Najib dan Rosmah memfailkan saman itu mendakwa Rafizi memberi ucapan berbaur fitnah dalam satu forum berkaitan dengan subsidi minyak di Bandar Tun Razak, di sini pada 22 November 2014.

Dalam pernyataan tuntutan itu, pasangan itu mendakwa ucapan Rafizi dirakam ‘Media Rakyat’ yang kemudiannya dimuat naik Chan atau pembantunya ke laman web YouTube Media Rakyat dan portal Media Rakyat di bawah tajuk ‘Rafizi Ramli: Kenapa Kita Pertahankan Subsidi Minyak’.

Mereka juga mendakwa rakaman yang sama turut dikongsi Chan dalam laman Facebook Media Rakyat, dengan ia boleh diakses secara bebas oleh pengguna Internet seluruh dunia.

Menurut mereka lagi Chan gagal mengamalkan prinsip kewartawanan bertanggungjawab kerana gagal mengambil tindakan untuk mengesahkan atau menyiasat kebenaran tuduhan yang terkandung dalam perkataan fitnah tersebut sebelum menerbitkannya.

Najib dan Rosmah menuntut kedua-dua defendan membayar ganti rugi am, tambahan dan teladan serta satu perintah supaya Rafizi dan Chan menerbitkan permohonan maaf secara bertulis di akhbar dan majalah.

Pautan:

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2015/08/05/najib-rosmah-akan-fail-satu-lagi-saman-fitnah-terhadap-rafizi/

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.