Filipina cadang hidupkan loji nuklear

Filipina cadang hidupkan loji nuklear

Filipina memerlukan AS$1 bilion untuk mengaktifkan loji nuklear 620 megawatt yang terletak di wilayah Bataan, barat laut Manila itu.

bahasa,-loji-janakuasa-nuklear,-Filipina
MANILA: Filipina sedang mengkaji untuk menghidupkan satu-satunya loji janakuasa nuklear dibina empat dekad lalu tetapi tidak pernah digunakan, bagi memastikan bekalan elektrik yang bersih dan murah untuk jangka panjang.

Menteri Tenaga, Alfonso Cusi berkata, kerajaan memerlukan AS$1 bilion untuk mengaktifkan loji 620 megawatt yang terletak di wilayah Bataan, barat laut Manila itu.

Beliau berkata, penjanaan kuasa menggunakan nuklear adalah satu daripada pilihan untuk memenuhi keperluan tenaga elektrik yang semakin bertambah, di mana permintaan bekalan elektrik dijangka meningkat 5% secara purata sehingga 2030.

“Kami perlu mempertimbangkan semua pilihan, dengan penekanan bukan sahaja untuk memenuhi keperluan kapasiti, tetapi kemampanan dan tanggungjawab terhadap alam sekitar,” kata Cusi pada majlis perasmian sidang antarabangsa kuasa nuklear di Manila, hari ini.

Cusi akan mengaktifkan semula sebuah pasukan petugas yang ditubuhkan pada 2007 untuk mengkaji tenaga nuklear sebagai alternatif kepada minyak dan arang batu yang membekalkan lebih separuh daripada tenaga campuran di Filipina.

Beliau berkata, pakar teknikal, termasuk daripada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa akan dipelawa membantu negara itu mengenal pasti langkah selanjutnya.

Tiada tempoh akhir ditetapkan untuk kajian itu diselesaikan, tetapi Cusi menjangkakan langkah itu bakal mencetuskan bantahan, khasnya pencinta alam sekitar dan gereja Katolik yang mempertikaikan kos mahal dan tahap keselamatan loji itu.

Pergerakan untuk Keadilan Iklim Filipina, Zaira Patricia Baniaga dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebelum sidang antarabangsa itu berkata, negara berkenaan perlu menjauhi bahan api fosil seperti arang batu, tetapi tenaga nuklear tidak selamat dan akan membahayakan rakyat serta alam sekitar.

Bekas Presiden Filipina, Ferdinand Marcos mengarahkan loji berharga AS$2 bilion itu dibina pada 1976 bagi menangani kenaikan harga tenaga dan ia disiapkan pada 1984.

Namun, ia tidak pernah digunakan selepas diisytiharkan tidak selamat kerana terletak di garis sesar gempa besar dan berhampiran Gunung Api Pinatubo yang tidak aktif ketika itu.

Letusan Pinatubo pada 1991 bagaimapaun tidak menjejaskan loji yang terletak 70 kilometer dari gunung itu, tetapi projek ditangguhkan susulan bencana Chernobyl pada 1986 dan kebocoran nuklear di loji janakuasa Fukushima pada 2011.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.