Hantar diesel ke Filipina urus niaga asing antara Vitol, PM seru henti kontroversi

Hantar diesel ke Filipina urus niaga asing antara Vitol, PM seru henti kontroversi

Anwar Ibrahim berkata Vitol merupakan syarikat asing beroperasi di Pengerang.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mahu semua pihak henti kontroversi dibangkitkan dan tumpu bangunkan negara dalam keadaan ekonomi mencabar ketika ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mahu semua pihak menghentikan kontroversi dakwaan penghantaran minyak diesel ke Filipina kerana ia melibatkan urus niaga syarikat asing, Vitol, yang beroperasi di Pengerang.

Anwar menegaskan, bekalan minyak berkenaan merupakan perjanjian asing.

“(Ia) bukan syarikat Petronas dan ia memang ada perjanjian membawa minyak (untuk) jual ke Filipina. Bukan kita bagi (minyak) kepada Filipina. Tapi, kita tidak menahan. Kita bagi laluan. Minyak (milik) orang dalam perjanjian asing.

“Itu yang kita lalui walaupun (berlaku) sedikit kontroversi. Saya harap hentikanlah kontroversi ini dan tumpu untuk bangunkan negara dalam keadaan ekonomi yang mencabar sekarang ini,” katanya menurut Berita Harian, di Kuala Terengganu.

Perdana menteri juga menyuarakan kekesalan kerana ada pihak tidak menghargai usaha kerajaan untuk kekal memberi subsidi minyak.

“Dengan keadaan sekarang, tentunya kita terpaksa buat pilihan. Berapa (peruntukan) untuk subsidi minyak yang kita bagi, itu pun tak pernah ada orang terima kasih.

“(Untuk) RON95, dahulu subsidi RM700 juta kini dia jadi lima bilion ringgit satu bulan, tak termasuk diesel (tetapi) ada yang marah dengan (kenaikan harga) diesel.

“Tapi diesel kita beri subsidi untuk petani, nelayan, pengangkutan awam, bas sekolah, semua itu ditampung dengan subsidi diesel.”

Anwar menjelaskan, kos subsidi diesel sebulan sebelum ini adalah RM2 bilion, namun sekarang melonjak kepada RM7 bilion.

Beliau yang juga menteri kewangan, berkata susulan pertambahan subsidi kepada rakyat, projek besar terpaksa ditangguh dengan kerajaan melaksanakan projek yang memberi impak kepada rakyat terlebih dahulu.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan dan Petronas menafikan kontroversi dicetuskan beberapa pihak termasuk pembangkang yang menuduh kerajaan membekalkan minyak diesel kepada Filipina.

Petronas juga nafi menghantar bekalan diesel ke Filipina kerana syarikat berkenaan tidak pernah memasuki sebarang perjanjian berhubung perkara itu dengan mana-mana pihak ke negara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.