Selepas ini, pengakuan Dr M aniayai Anwar, soal Azalina

Selepas ini, pengakuan Dr M aniayai Anwar, soal Azalina

Dr Mahathir bertemu Anwar menunjukkan bekas perdana menteri itu tidak yakin akan kemampuan partinya melawan BN

mahathir_anwar_1_600
KUALA LUMPUR:
Datuk Seri Azalina Othman Said hari ini menyoal sejauh mana kesanggupan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjatuhkan pentadbiran sedia ada.

Mengulas pertemuan semula Dr Mahathir dengan seteru, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menteri di jabatan perdana menteri itu tidak terkejut melihat perkembangan itu.

“Mahathir pakar politik. Beliau memimpin negara ini hampir 22 tahun. Malah, tiada kawan atau musuh abadi dalam politik,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

“Tetapi saya persoalkan langkah seterusnya. Adakah beliau akan mengaku dakwaan terhadap Anwar itu sebenarnya tidak pernah berlaku?

“Mengapa pula Anwar dipenjara tapi Mahathir masih bebas?”

Anwar disingkir Dr Mahathir daripada jawatan timbalan perdana menteri pada 1998 atas dakwaan salahlaku seks. Beliau kemudian disabit kesalahan rasuah dan dikenakan penjara enam tahun, sementara Dr Mahathir terus mengemudi negara.

Semalam, kedua ahli politik itu bertatap muka di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur buat kali pertama selepas 18 tahun, semasa mahkamah mendengar permohonan Anwar untuk menyekat perlaksanaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.

Menurut Azalina, kehadiran Dr Mahathir yang disebut oleh penyokong Anwar sebagai sokongan untuk bekas ketua pembangkang itu mendedahkan ketidakyakinan akan kemampuan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menewaskan BN.

“Banyak persamaan antara Mahathir dan Anwar, hari ini kawan, esok musuh, lusa kawan.

“Mereka berdua bekas pemimpin Umno. Di Barat pemimpin yang meletak jawatan atau bersara akan betul-betul bersara. Di sini, walaupun bersara tapi masih berpolitik.

“Sekiranya begitu strategi partinya, mungkin betul beliau tak yakin akan parti baharu itu.”

Dr Mahathir adalah pengerusi penaja Bersatu, parti yang diasaskan bersama bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menumbangkan kerajaan BN.

Julai lepas, Dr Mahathir mengumumkan partinya bersedia bekerjasama dengan Pakatan Harapan bagi memastikan pertandingan satu lawan satu menentang BN pada pilihan raya akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.