Lelaki serang duta Sri Lanka dihadapkan di mahkamah

Lelaki serang duta Sri Lanka dihadapkan di mahkamah

Dua lelaki itu dituduh bersama-sama dengan 4 orang yang masih bebas melakukan kesalahan itu di Aras 3, KLIA pada 4 Sept 2016, pukul 3 petang.

attack
SEPANG:
Dua rakan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rusuhan dan mendatangkan kecederaan terhadap Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka di Malaysia, Ibrahim Sahib Ansar, Ahad lepas.

A. Kalaimughilan, 25, dan V. Balamurugan, 34, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan hakim Muhamad Faizal Ismail.

Mereka dituduh bersama-sama dengan 4 orang yang masih bebas melakukan kesalahan itu di Aras 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor, pada 4 Sept 2016, pukul 3 petang.

Kalaimughilan seorang peniaga dan Balamurugan, pemandu teksi, didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Okt untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fariza Hamzah mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin atas alasan insiden yang berlaku di KLIA itu yang menjadi pintu masuk kepada pelancong boleh memburukkan nama Malaysia.

Peguam M.Manoharan yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jaminan kepada RM500 setiap seorang kerana mereka berasal daripada keluarga miskin dan berkeluarga.

Katanya kedua-dua tertuduh adalah warga negara Malaysia dan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Ahad lepas, Ibrahim diserang di KLIA selepas menghantar Menteri Industri Utama Sri Lanka, Daya Gamage dan Ibrahim yang lebam di muka dan badan mendapat rawatan di sebuah hospital swasta di sini.

Pautan:

Ditumbuk bertubi-tubi, klip video duta Sri Lanka diserang di KLIA

15 lelaki belasah 2 diplomat Sri Lanka di KLIA

Salah kerajaan dan penganjur, pesuruhjaya tinggi Sri Lanka dipukul

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.