Penculikan di Pulau Pom Pom angkara kumpulan ‘kidnap for ransom’

zahidKUALA LUMPUR: Penculikan 3 kru kapal nelayan di Pulau Pom Pom, Semporna, Sabah malam tadi dipercayai didalangi kumpulan ‘kidnap for ransom’ (KFR) atau ‘penculikan untuk tebusan’, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan perdana menteri berkata kumpulan itu dipercayai bergerak di kawasan Filipina khususnya di kepulauan berhampiran dengan Malaysia.

“Walaupun kita melakukan pemantauan sebagai kaedah ‘surveillance’, tetapi mereka bergerak di bawah radar.

“Dalam perkara ini saya hubungi pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) supaya lebih meliputi seluruh kawasan 1,700km panjang di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) untuk dipantau sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kes penculikan itu pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Kelapan Parti Makkal Sakti Malaysia, di sini hari ini.

Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata terdapat beberapa kekangan daripada segi peralatan, namun beliau yakin ia akan diperoleh dalam masa terdekat.

Menurutnya, ketiga-tiga kru berkenaan bukan warganegara Malaysia tetapi pemastautin tetap.

“Walaupun begitu, pihak berkuasa akan terus memberi kerjasama dengan Filipina dan Menteri Pertahanan (Datuk Seri Hishammuddin Hussein) berbincang dengan rakan sejawatnya, saya sendiri dah berbincang dengan rakan sejawatan saya serta Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) adakan perbincangan dengan rakan sejawatnya,” katanya.

Esscom hari ini mengesahkan berlaku satu kes culik di perairan Pulau Pom Pom, Semporna malam tadi.

Komander Esscom Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata laporan berhubung kes berkenaan diterima pada 1.59 pagi tadi.