Jenazah Haron Din dikebumi di San Francisco, AS

Zahid HamidiKUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jenazah Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din akan dikebumikan di San Francisco, Amerika Syarikat.

Beliau dimaklumkan mengenai perkara itu selepas berhubung dengan keluarga Haron.

“Baharu bercakap dengan keluarga Datuk Dr Harun Din, mereka sepakat pengkebumian di San Francisco.

“Solat jenazah di Masjid AnNur di sana,” katanya dalam catatan terbaharunya di laman Twitter rasmi beliau hari ini.

Sebelum ini, Ahmad Zahid memaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliau sudah menguruskan penghantaran jet ke Amerika Syarikat bagi membawa pulang jenazah tokoh agama itu.

Haron, 76, meninggal dunia pada 10.10 pagi (waktu Malaysia) di Hospital Stanford University, San Francisco, Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung.

Beliau dimasukkan ke hospital berkenaan bagi mendapatkan rawatan lanjut berhubung masalah jantung yang dihidapinya.

Beliau meninggalkan isteri Datin Khatijah Salleh serta 3 anak lelaki dan 3 anak perempuan.

Pautan:

Menteri minta semua masjid adakan solat ghaib untuk Haron Din

Mursyidul Am PAS Haron Din meninggal dunia