Presiden MCA gesa Jeff Ooi mohon maaf

tiong-jeff

KUALA LUMPUR: Presiden MCA hari ini menggesa Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi memohon maaf kepada keluarga Datuk Dr Haron Din kerana membuat “kenyataan tidak sensitif” berhubung pemergian mursyidul am PAS itu.

Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kematian seorang pemimpin agama tidak patut dijadikan “polemik” walaupun mempunyai perbezaan politik.

“Kami kecewa kerana mereka tidak sensitif terhadap kehilangan seorang tokoh negara. Walaupun tidak sependapat daripada segi politik, kita tidak perlu mempolitikkan perkara itu.

“Kami sedih ini berlaku dan individu itu perlu memohon maaf kepada keluarganya,” katanya pada sidang media di Wisma MCA hari ini.

Semalam, Ketua Penerangan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari menggesa wakil rakyat DAP itu memohon maaf kepada keluarga Haron dan menarik balik kenyataan “Adios Harun Din. Let there be peace” di Twitternya, pada Jumaat lalu.

Ooi berkata, beliau membuat kenyataan itu semasa berkongsi twit orang lain sebelum memadamkan komen individu terbabit dan membuat twit baharu: “Received a personal call a while ago. So…Farewell. Let there be peace.”

“Laman itu adalah kerja photoshop dia orang. Saya hanya akan memuat naik status menerusi laman Facebook rasmi saya,” kata Ooi selepas status itu mencetuskan kemarahan dan dianggap biadap serta tidak sensitif.

Ooi berkata, beliau tiada niat memperkecilkan Haron atau keluarganya, sebaliknya sekadar hendak menyampaikan selamat tinggal kepada pemimpin PAS itu.

Liow berkata, setiap rakyat Malaysia perlu sentiasa peka dan cuba memahami kepelbagaian budaya di negara ini.

“Sebagai contoh, kita tahu dalam Islam orang yang mati tidak mengambil masa lama untuk dikebumikan, manakala dalam budaya Cina, mereka akan menunggu beberapa hari.

“Jadi, kita perlu faham budaya adalah penting dan kita harus menghormati kaum lain di negara sendiri. Setiap orang perlu sensitif terhadap pandangan orang lain,” kata Menteri Pengangkutan itu.

Pautan:

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/09/17/twitter-saya-tidak-digodam-kata-jeff-ooi/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/09/17/twitter-saya-digodam-pihak-lain-dakwa-jeff-ooi/