
Arab Saudi menggunakan kalendar Umm al-Qura sejak penubuhannya 84 tahun lalu dan penukaran kepada kalendar suria mulai 1 Oktober lalu bermakna gaji penjawat awam akan dipotong selama 11 hari, sejajar sistem pembayaran gaji yang digunakan sektor swasta di negara itu.
Kalendar Hijrah terdapat 12 bulan yang mengandungi 29 atau 30 hari, bergantung kepada pencerapan anak bulan dengan kebiasaannya setiap tahun mempunyai 354 hari, iaitu 11 hari lebih pendek daripada kalendar Gregorian.
Langkah itu adalah satu daripada dasar pengurangan kos yang diumumkan pada mesyuarat Kabinet mingguan dipengerusikan Raja Arab Saudi, Salman AbdulAziz Al Saud.
Arab Saudi adalah antara 20 ekonomi terbesar di dunia yang menghadapi defisit bajet tertinggi, susulan kejatuhan harga minyak dunia dan perang berlarutan di negara jiran, Yaman.
Menurut dekri dan kenyataan Kabinet, pembayaran bonus penjawat awam turut dibatalkan, gaji menteri dipotong 20%, kenaikan gaji digantung, kawalan ke atas elaun dan gaji anggota sebuah badan perundangan yang merupakan penasihat kerajaan turut dipotong 15%.
Keistimewaan untuk pegawai kerajaan, seperti penyediaan kereta bagi pegawai kanan akan dihentikan pada tahun kewangan berikut dan menteri perlu membayar bil telefon sendiri mulai tahun depan.
Majlis Menteri yang dipengerusikan Putera Mahkota Muhammad Naif pula mengumumkan pemohon visa untuk mengerjakan haji buat kali kedua dinaikkan kepada 2,000 riyal (RM2,196).
Bayaran visa 2 bulan untuk setiap lawatan ke negara itu meningkat kepada 200 riyal (RM219) dan 300 riyal (RM329) bagi 3 bulan, berkuat kuasa Ahad lalu.
Pada mesyuarat Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (Opec) di Algiers, bulan lalu, Arab Saudi bersama 11 negara anggota lain bersetuju mengurangkan pengeluaran minyak daripada sekitar 33.5 juta tong sehari (bpd) kepada 32.5 hingga 33 juta bpd, buat julung kalinya, selepas cubaan untuk menyaingi minyak syal Amerika Syarikat yang lebih murah, gagal.
Di bawah rancangan Wawasan 2030 yang dirangka Putera Mohammad, Arab Saudi bercadang mengurangkan pembayaran gaji sektor awam daripada 45% kepada 40% menjelang 2020, manakala hutang awam pula diunjurkan meningkat kepada 30% daripada pengeluaran ekonomi, berbanding 7.7% buat masa ini.