Dakwa Kristian dalang untuk sembunyi masalah Orang Asli, kata Husam

husam-musaPETALING JAYA: Dakwaan golongan Kristian dalang di sebalik tindakan Orang Asli menghalang aktiviti pembalakan di Gua Musang adalah dakyah dan tidak bertanggungjawab, kata Datuk Husam Musa.

“Bila Orang Asli bangun kerana tempat cari makan mereka musnah, kita kata orang Kristian peralat mereka. Kalau kita pergi, kita hendak tolong jayakan agenda dan bersubahat dengan Kristian.

“Maka, kita takut nak pergi jenguk (lihat apa berlaku). Jika kita pergi kita alat Kristian. Inikah sikap kerajaan kita?” tempelak Husam menerusi kuliah Jumaat di perkarangan rumahnya, pagi tadi.

Ini adalah kuliah Jumaat ke-2 Husam selepas minggu lalu, seperti yang dilakukan bekas Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Husam yang baru pulang daripada melawat masyarakat Orang Asli itu semalam, bagaimanapun tidak menamakan siapa yang membuat dakwaan itu, tetapi katanya, dakwaan itu hanya bertujuan menyembunyikan masalah dihadapi Orang Asli sekarang.

“Kalau kita tidak pergi sungguh kerana dakyah ini, barulah sebenarnya kita alat mereka kerana terpengaruh dengan dakyah ini dan mereka (kumpulan mubaligh Kristian) yang mendapat manfaat daripadanya (selepas orang Islam tidak pergi),” kata Adun Salor itu.

Beliau berkata, tindakan mengabaikan kebajikan Orang Asli bertentangan ajaran Islam yang dibawakan Nabi Muhammad yang memuliakan semua makhluk, termasuk manusia.

“Nabi kita minta unta pun ditambat di tempat yang teduh, apatah lagi Orang Asli ini manusia juga,” kata penasihat Amanah Kelantan itu.

Masalah Orang Asli

Husam berkata, kawasan Orang Asli di Gua Musang yang beliau kunjungi semalam diteroka pembalak, termasuk anak syarikat kerajaan negeri Kelantan, KPK Sdn Bhd, sejak 7 tahun lalu.

“Kawasan balak yang diberikan kerajaan negeri kepada mereka untuk diambil kayu balak, tetapi kini mereka membersihkan hutan habis licin semuanya, termasuk menyodok habis kubur Orang Asli untuk dijadikan kawasan ladang.

“Mula-mula, bila pokok-pokok besar kawasan kediaman Orang Asli ini ditebang, mereka diam saja, tetapi selepas kebun langsat dan durian mereka, kubur mereka habis disodok, mereka mula bangkit dan membuat sekatan kepada pembalak ini,” katanya.

Aktiviti pembalakan itu turut menyebabkan sumber pencarian Orang Asli hilang dan bekalan air minuman dari sungai berdekatan menjadi keruh setiap kali hujan.

Sejak beberapa minggu lalu, Orang Asli di Gua Musang membentuk benteng manusia untuk menghalang pembalak memasuki kawasan terbabit, selain tepi jalan masuk itu dibina khemah buatan buluh dan pokok hutan.

Beberapa hari lalu, Jabatan Perhutanan bertindak membuat sekatan untuk menghalang orang ramai memasuki kawasan terbabit dan ia menyukarkan kehidupan Orang Asli kerana mereka tidak dapat mengambil hasil hutan.

“Bila saya pergi, saya lihat mereka makan ubi kayu rebus saja. Cuma semalam mereka dapat makan nasi lauk ayam sebab salah seorang hamba Allah bernama Pak Nik bagi nasi gulai ayam kepada mereka,” kata Husam.

Pautan:

Husam gesa Kelantan gazet kawasan balak zon Orang Asli