Wartawan ‘dikasari’ dalam kekecohan anti Bersih

bersihPETALING JAYA: Pergelutan dilaporkan tercetus antara penyokong politik, hari ini, dan beberapa wartawan dipercayai dikasari apabila konvoi Bersih melalui Kuala Selangor, petang tadi.

Malaysiakini melaporkan, beberapa wartawan diganggu dan dipaksa memadamkan gambar serta rakaman video dalam kekecohan itu.

Seorang wartawan Malaysiakini ditumbuk di bahu, manakala seorang jurugambar video dan wartawan wanita The Star dipaksa memadamkan gambar serta rakaman video.

Seorang lagi wartawan lelaki dikasari ketika cuba membantu rakannya.

Menurut laporan itu, seorang penyokong Bersih turut diganggu selepas beliau berjabat tangan dan memeluk Exco Pemuda Umno, Armand Azha Abu Hanifah.

Seorang lelaki yang muncul di sebelah Armand kemudiannya menjerit “Jangan ganggu orang Tanjung Karang” dan meminta gambar tidak dirakamkan.

Anggota polis berhampiran segera menghentikan kekecohan itu dan menggesa kumpulan penyokong lawan bersurai.

Terdahulu pada tengah hari tadi, konvoi Bersih berarak secara aman di Sekinchan dan mengedarkan risalah di beberapa lokasi.

Pautan video: