
Naib Presiden PKR Tian Chua berkata PKR hanya akan menetapkan pendirian sama ada untuk menyokong atau menolak usul mencadangkan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) itu selepas ia menjadi jelas.
“Kami mengakui keperluan melakukan reformasi kepada mahkamah syariah, dan percaya Hadi memang bertujuan itu, tetapi RUU itu mengandungi kesamaran dan perlu dijelaskan.
“Selepas ia dijelaskan, barulah kami akan menetapkan pendirian,” kata Ahli Parlimen Batu itu di Parlimen hari ini.
RUU 355 yang dibawa Abdul Hadi dikatakan bertujuan memperkasakan mahkamah syariah dengan meningkatkan had hukuman yang boleh dijatuhkan mahkamah itu.
Menurut Tian, PKR mahu melihat sama ada ia akan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Terdahulu, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata Pakatan Harapan akan mengadakan perbincangan tentang RUU 355 hari ini, dan PKR dijangka akan kelaurkan satu kenyataan dalam masa terdekat.
Sementara itu, Amanah akan membawa usul memperkasa mahkamah syariah tersendiri sebagai alternatif kepada usul kontroversi PAS.
Ketua Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata usul alternatif akan dibawa ke Dewan Rakyat melalui Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud.
“Ia akan dimasukkan dalam aturan mesyuarat 14 hari selepas dihantar,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.
Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata Amanah akan adakan suatu sidang media khas esok bagi menjelaskan perkara itu.
Namun ia dipercayai sama dengan cadangan parti itu sebelum ini, iaitu penubuhan jawatankuasa khas yang dianggotai para hakim dan pakar.
Tujuannya untuk menyelia langkah pemerkasaan sistem syariah daripada aspek mutu, gaji hakim dan kakitangan, sokongan insitusi dan menilau semula had dan keberkesanan hukuman.
“Kami menghantar usul ini sebagai alternatif selepas gagal mendapat penjelasan tentang Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) daripada PAS.
“Kami percaya ia menyentuh soal memperkasakan mahkamah syariah dengan lebih meluas dan di bawah ruang lingkup Perlembagaan,” kata Khalid.