Rakyat panik punca minyak masak kurang, kata Fomca

minyak-masakPETALING JAYA: Khabar angin penarikan subsidi minyak masak menyebabkan rakyat panik, kata Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).

Timbalan Presiden Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, situasi itu menyebabkan terdapat sesetengah pengguna membeli minyak masak lebih daripada keperluan dan ada juga pembekal mula menyimpan stok.

“Apabila mereka mendengar subsidi minyak masak ingin dimansuhkan, mereka membeli lebih daripada keperluan biasa. Ini kerana mereka takut sukar mendapatkannya di pasaran kelak.

“Ada juga pembekal menyimpan stok bagi tujuan mendapatkan keuntungan lebih besar. Mereka tidak hantar ke kedai runcit dan pasaraya,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian berikutan laporan akhbar Berita Harian yang mengatakan peruncit dan pengguna di beberapa negeri mendakwa sukar mendapat bekalan minyak masak sejak beberapa hari lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, lesen perniagaan pemborong dan pembekal minyak masak akan ditarik balik jika didapati menyorok bekalan bahan tersebut bagi mengaut keuntungan.

Bagaimanapun, Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani berkata, rakyat akan terus menerima subsidi minyak masak daripada kerajaan.

Mengulas lanjut, Yusof berkata rakyat tidak seharusnya panik dengan masalah ini berikutan kuota penggunaan minyak masak memang sudah ada untuk pengguna.

Katanya, apa yang perlu dilakukan adalah pihak KPDNKK mengeluarkan kenyataan sama ada mahu menarik balik atau tidak subsidi itu.

“Selain itu, KPDNKK perlu mengesan rantaian bekalan makanan yang menyebabkan situasi minyak masak sukar didapati peruncit dan pengguna.

“Perkara itu perlu dikenal pasti. Jika (pembekal) simpan stok, itu satu kesalahan. Perlu juga mengesan pihak mana yang menyebabkan bekalan minyak masak berkurangan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata kerajaan tidak perlu menarik balik subsidi minyak masak yang diberikan kepada rakyat.

Katanya, kerajaan seharusnya mengambil tindakan kepada pembekal yang menyimpan stok dan mereka yang menjual ke negara luar seperti Thailand dan Kalimantan, Indonesia.

“Mereka yang cuba mengaut keuntungan dengan menyimpan minyak masak dan menjual ketika kerajaan menarik subsidi perlu diambil tindakan. Selain penjual yang menjual ke negara luar dengan harga lebih mahal.

“Kerajaan perlu tangani perkara itu daripada menarik balik subsidi minyak masak,” katanya,