Kementerian jamin stok minyak masak kembali normal minggu depan

Mohd-Roslan-Mahyudin

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menjamin bekalan minyak masak akan kembali normal dalam tempoh seminggu.

Pengarah Penguatkuasaan KPDNKK Mohd Roslan Mahyudin berkata kehabisan minyak masak di pasar raya besar dan kedai runcit hanya sementara.

Katanya, masalah yang dihadapi sekarang hanya kerana kekurangan bekalan.

Pada masa ini pihak penapis dan pembungkus semula sedang mempertimbangkan kaedah menyelesaikan masalah seperti pengagihan, stok lama dan label yang sudah dicetak, lapor The Star.

“Sebaik saja semua isu ini diselesaikan, kami menjangkakan tidak ada lagi masalah bekalan. Beri mereka seminggu untuk selesaikan semuanya,” katanya dipetik daripada The Star.

Berkuat kuasa Selasa, harga minyak masak akan ditentukan mengikut harga pasaran, kecuali yang dijual dalam plastik sekilogram, di mana kerajaan akan terus mensubsidinya dan harga kekal RM2.50.

“Jika selama ini mereka ada peratus keuntungan tertentu, margin keuntungan mereka pasti kekal sama selepas harga baharu,” katanya.

Roslan berkata pegawainya akan mengadakan pemeriksaan untuk memastikan tidak ada lebihan kenaikan harga minyak masak susulan rasionalisasi subsidi.