
Cadangan itu dimasukkan dalam Laporan PAC Pengurusan Pengendalian Acara di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (KPK) berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 3 yang dibentangkan di Parlimen pada 10 November 2014.
“KPK perlu memastikan satu sistem lebih teratur dan lebih baik berdasarkan tatacara kewangan dipatuhi bagi mengurangkan risiko pembaziran dan penyelewengan bagi acara-acara kementerian kerana acara-acara ini dilaksanakan setiap tahun,” kata Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin dalam kenyataan hari ini.
Antara pembaziran yang dikesan PAC ialah kontrak KPK 910% atau 9 kali ganda lebih tinggi daripada kontrak yang dibuat mengikut nilai bulanan Tourism Malaysia, serta pelantikan kontraktor khusus tidak sesuai dengan fungsi KPK, di mana aktiviti promosi dan perhubungan awam sepatutnya dilaksanakan Tourism Malaysia.
“Semak silang yang dibuat turut mendapati persamaan kerja yang dibuat bagi kedua-dua projek tersebut.
“Bagi output kerja ‘compile press clipping, provide translation and commercial value to all Visit Malaysia Year 2014 media release’ terdapat persamaan skop kerja sehingga 80% dengan output kerja kontraktor Tourism Malaysia.”
Hasan berkata, PAC juga mendapati wujud ketidakselarasan dalam perancangan, di mana sewaan kerusi bankuet 53.9% hingga 300% lebih banyak daripada jumlah makanan ditempah, sementara acara dirancang tidak sejajar objektif utama program memperkenalkan sajian tempatan, tetapi turut memfokuskan juadah negara lain.
Isu lain termasuk pembayaran tanpa dokumen sokongan lengkap, spesifikasi bekalan dan perkhidmatan tidak mematuhi peraturan serta tiada garis panduan khusus bagi bantuan kewangan untuk program pelancongan dilaksanakan agensi atau badan bukan kerajaan (NGO).
Hasan berkata, penyediaan laporan oleh Jabatan Audit Negara perlu lebih memfokuskan bajet dan dibuat secara objektif.
“PAC memandang serius kegagalan pegawai KPK dalam mematuhi tatacara kewangan ditetapkan. Tindakan lebih tegas diambil bagi memastikan prosidur dipatuhi,” kata ahli Parlimen Rompin itu.