Shahidan: Kerajaan tidak akan isytihar Jumaat cuti mingguan

Shahidan: Kerajaan tidak akan isytihar Jumaat cuti mingguan

Shahidan berkata, umat Islam boleh bersolat di banyak tempat berdekatan dan kembali ke tempat kerja.

shahidan
KUALA LUMPUR: Solat Jumaat tidak patut dijadikan alasan untuk kerajaan mengisytiharkan hari itu sebagai cuti mingguan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, Perlis pada mulanya mengisytiharkan Jumaat sebagai cuti mingguan sebelum menukarkannya kepada Ahad.

“Umat Islam dibenar menunaikan solat Jumaat di banyak tempat berdekatan. Sebagai contoh, tidak ada masjid di PWTC (Pusat Dagangan Dunia Putra), tetapi surau itu dijadikan masjid pada Jumaat,” katanya.

Ahli Parlimen Arau itu berkata demikian ketika menjawab soalan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) yang beliau menerima aduan ramai umat Islam tidak sempat sampai ke pejabat mereka menjelang 2.30 petang disebabkan kesesakan lalu lintas selepas solat Jumaat.

Ketika ini, hanya Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu mengisytiharkan Jumaat sebagai cuti mingguan.

Johor kembali memilih Jumaat dan Sabtu sebagai cuti mingguan, mulai 3 Januari 2014.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, pertukaran cuti mingguan itu bertujuan memberi ruang kepada umat Islam memperbanyakkan amalan pada hari berkenaan kerana Jumaat adalah penghulu kepada semua hari.

Johor pernah menjadikan Jumaat dan Sabtu sebagai cuti mingguan sebelum negara mencapai kemerdekaan, sebelum menukar cuti kepada Sabtu dan Ahad, mulai 1994.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.