
“Kami mahu Sime Darby kembalikan tanah kami dan mematuhi kriteria 2.2 RSPO (Rundingan Meja Bulat bagi Kelestarian Minyak Sawit) berhubung hak-hak Orang Asli,” kata Bang Redatus Musa yang mewakili masyarakat Kerunang dan Entapang dalam satu kenyataan dilaporkan Jakarta Globe, Selasa lalu.
Masyarakat yang berasal dari daerah Sangau di Kalimantan Barat itu mendakwa gergasi minyak sawit Malaysia itu menceroboh tanah mereka dan menjadikannya kebun plasma.
Bang berkata, mekanisme aduan RSPO tidak cekap memandangkan dakwaan terhadap Sime Darby itu sudah difailkan pada 2012 dan sehingga kini belum diputuskan.
Menurut kumpulan hak-hak masyarakat Tuk Indonesia, Sime Darby melalui anak syarikat di Kalimantan Barat, Mitral Austral Sejahtera (MAS) sudah beroperasi di tanah Orang Asli itu sejak 1995, tanpa persetujuan dan pengetahuan mereka terlebih dahulu.
Pada 1995, MAS mencapai persetujuan dengan masyarakat Dayak Mayau, Ribun dan Tingin untuk memajakkan tanah mereka sehingga 2022 dengan pembayaran sekali Rp50,000 sehektar.
Walaupun tiada kontrak rasmi dengan masyarakat itu, MAS mendapat hak permit penanaman atau HGU dan satu kontrak sah sehingga 2030.
Bagaimanapun, masyarakat Kerunang dan Entapang tidak tahu tanah mereka turut disenaraikan dalam kontrak itu dan HGU diberikan kepada MAS.
Sime Darby pula dikaitkan dengan isu itu susulan pengambilalihan MAS pada 2007 dan menyebabkan masyarakat Orang Asli mempersoalkan perjanjian terhadap kemampanan dan penghormatan hak-hak tanah tempatan.
Sehubungan itu, masyarakat terbabit mahu RSPO menyelesaikan isu itu dalam tempoh setahun dan Sime Darby menyiarkan dokumen berkaitan bagi membuktikan haknya ke atas tanah terbabit.
Sime Darby memberitahu Jakarta Globe pada Selasa lalu yang syarikat itu sedia berbincang dengan masyarakat terbabit, tetapi akhirnya semua perlu bergantung kepada keputusan kerajaan.
“Kami tidak dapat bersetuju dengan permintaan mereka ketika ini kerana ia bertentangan dengan syarat-syarat kontrak bersama kerajaan Indonesia,” kata Sime Darby dalam satu kenyataan.
Syarikat itu berkata, kebanyakan konflik dengan masyarakat tempatan sudah diselesaikan.
“Sehingga akhir Julai 2015, perjanjian dicapai untuk 12 (daripada 14) tuntutan yang difailkan masyarakat itu, kecuali Kerunang dan Entapang,” kata Sime Darby.
MAS adalah kilang terakhir Sime Darby yang tidak diperakui RSPO dan akan kekal sebagai zon kelabu daripada segi pensijilan kemampanan sehingga semua konflik diselesaikan.