Isu SPLASH: 3 NGO desak SPRM panggil Azmin Ali, Khalid Ibrahim

RM2.9b to SPLASH- Azmin wants Khalid to answer in assembly

PETALING JAYA: Tiga badan bukan kerajaan (NGO) mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Tan Sri Khalid Ibrahim bagi merungkai isu air di Selangor.

Penasihat Pertubuhan Suara Rakyat Marhaen (Suara), Zamil Ibrahim yang mewakil 3 NGO itu berkata ia susulan dakwaan pembayaran melampau kerajaan Selangor bagi pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) berjumlah RM2.975 bilion.

“Kita minta SPRM bertindak segera jika ada unsur rasuah kerana ia melibatkan wang rakyat Selangor, sekali gus meleraikan kemelut air yang berlaku.

“Sebab kita sebagai rakyat nak tahu siapa yang bercakap benar. Angka yang dimaklumkan juga berbeza 10 kali ganda,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Pejabat SPRM Shah Alam hari ini.

Zamil turut menamakan Pengarah SPLASH Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah untuk disiasat memandangkan beliau antara individu bertanggungjawab dalam perjanjian pengambilalihan ekuiti syarikat konsesi air itu.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Gerakan Penegak Suara Selangor (Gapenas), Nasiruddin Mohamed berkata pihaknya kecewa dengan sikap barisan exco kerajaan negeri kerana gagal menjaga kebajikan rakyat.

Bagi Ahli Majlis Tertinggi Badan Amal Tarbiah Sejagat Malaysia (Batas), Hafizam Harun mendakwa kerajaan negeri itu menerima komisyen sejumlah RM600 juta ekoran pengambil alihan tersebut.

“Saya hari ini meminta penjelasan adakah isu air ini ada kaitan dengan dakwaan komisyen sebanyak RM600 juta. Ini melibatkan angka yang besar. Batas meminta siasat segera kerana rakyat ingin tahu apa yang berlaku,” katanya.

Sebelum ini Khalid berkata, kerajaan Selangor di bawah pimpinannya tidak pernah menawarkan bayaran RM2.975 bilion bagi pengambilalihan ekuiti SPLASH antara 2008 dan 2014 seperti didakwa Azmin.

Katanya, tuduhan Azmin itu dibuat bagi mengalihkan perbincangan mengenai keputusan pentadbiran Azmin untuk membayar sebanyak RM2.7 bilion ke atas ekuiti syarikat konsesi air itu, iaitu 10 kali lebih tinggi daripada tawaran asal yang berjumlah RM250.6 juta.

Khalid mengulas kenyataan Azmin yang disiarkan satu portal berita, antara lain menyatakan kerajaan negeri semasa di bawah Khalid tidak pernah memaklumkan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan tawaran RM2.975 bilion yang dibuat kepada SPLASH melalui surat bertarikh 25 Jun 2009 dan seterusnya pada 19 Julai 2009.

Tak pernah tawar RM2.975 bilion ambil alih SPLASH, kata Khalid

BN kesal Speaker tolak usul bincang isu Splash di Selcat