Putrajaya tak terlibat rundingan SPLASH

Putrajaya tak terlibat rundingan SPLASH

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menegaskan rundingan itu hanya melibatkan kerajaan Selangor dan SPLASH.

ongkili-splash
KUALA LUMPUR:
Putrajaya tidak terlibat dalam rundingan harga tawaran pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH).

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menegaskan rundingan itu hanya melibatkan kerajaan Selangor dan SPLASH.

“Rundingan hanya antara pembeli dan penjual yang sama-sama bersetuju… apabila sudah selesai berbincang, mereka akan maklumkan kepada kami (kementerian). Setakat ini, kita masih tunggu ketetapan nilai (pembelian) dipersetujui antara kedua-dua pihak terlibat.

“Dari situ, kita akan tengok proses penstrukturan semula dan berapa banyak kerajaan pusat boleh bantu daripada segi pinjaman,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2017 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Rundingan harga tawaran pengambilalihan itu menimbulkan kontroversi apabila berlaku percanggahan antara Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali dan bekas menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Azmin sebelum ini, mendakwa kerajaan negeri terdahulu di bawah pimpinan Khalid menawarkan RM2.975 bilion bagi pengambilalihan ekuiti SPLASH antara 2008 dan 2014, namun Khalid menafikan dakwaan itu.

Sebaliknya, Khalid menegaskan tawaran akhir yang dibuat pihaknya kepada SPLASH adalah RM250.6 juta sebagai bayaran ekuiti.

Terdahulu, Khalid yang juga ahli Parlimen Bandar Tun Razak ketika sesi perbahasan berkata bayaran berlebihan dalam pengambilalihan syarikat itu akan membebankan rakyat Selangor untuk tempoh 30 tahun akan datang.

“Saya mendapati ura-ura kerajaan Selangor telah enerima kenaikan bayaran kepada SPLASH melebihi apa yang ada dalam perjanjian.

“SPLASH akan mendapat keuntungan berlebihan melalui pembayaran dengan harga tinggi dan kesannya bakal membebankan rakyat Selangor,” katanya.

Beliau berkata jumlah keseluruhan kos pengambilalihan 4 syarikat konsesi air di Selangor termasuk SPLASH, dijangka melebihi jumlah yang terdapat dalam perjanjian sebelum ini, bernilai RM9.65 bilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.