Masalah kewangan antara punca Annuar lepas jawatan presiden KAFA

Masalah kewangan antara punca Annuar lepas jawatan presiden KAFA

Annuar juga mahu membuka ruang kepada kerajaan negeri atau usahawan yang berminat dengan bola sepak bagi menabur bakti dan memperbaiki prestasi pasukan Kelantan yang dilihat agak merosot musim ini.

bahasa,-Annuar-Musa,-KAFA,-FAM
KUALA LUMPUR: Tan Sri Annuar Musa sekali lagi mengulangi pendiriannya meletak jawatan sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) walaupun mendapat bantahan exco persatuan itu.

Annuar berkata, antara punca beliau melepaskan jawatan itu adalah masalah kewangan yang menghimpit KAFA.

“Ada beberapa tunggakan gaji pemain perlu dijelaskan persatuan dan saya berjanji cuba selesaikan dalam masa 5 hari walaupun sudah tidak bergelar presiden.

“Selain masalah gaji, persatuan turut menghadapi masalah pendaftaran pasukan untuk Liga Malaysia musim depan kerana baki kewangan sudah negatif.

“Kami memerlukan sekurang-kurangnya RM3 juta tunai dan RM3 juta dalam bentuk bon untuk diberikan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” katanya pada sidang media selepas perjumpaan dengan exco KAFA hari ini.

Annuar yang menyandang jawatan itu sejak 2008, melepaskan jawatan tersebut awal bulan ini dan memuat naik salinan surat rasmi peletakan jawatannya di Facebooknya pada 8 November lalu.

Pada masa sama, Annuar turut mendedahkan pengambilan 4 pemain import setiap musim sekurang-kurangnya memerlukan wang tunai RM2 juta dan persatuan itu perlu memiliki RM2.7 juta tunai sebelum musim depan bagi tujuan membayar ejen dan pemain.

Selain alasan kewangan KAFA, Annuar juga mahu membuka ruang kepada kerajaan negeri atau usahawan yang berminat dengan bola sepak bagi menabur bakti dan memperbaiki prestasi pasukan Kelantan yang dilihat agak merosot musim ini.

Katanya, KAFA merupakan badan bukan kerajaan (NGO) yang tidak memberi pulangan kepada ahli exco di mana mereka bekerja untuk persatuan itu secara sukarela demi cinta kepada bola sepak.

Annuar turut meluahkan kekecewaannya dengan kritikan dilemparkan kepada KAFA oleh penyokong tegar The Red Warriors apabila pasukan itu tidak mempamerkan aksi cemerlang musim ini.

“Walaupun status sebagai NGO, kami tetap membawa nama negeri, sudah pasti kami mahukan yang terbaik untuk Kelantan. Penyokong harus menerima realiti dalam bola sepak, pelbagai rintangan boleh jadi.

“Saya akui tidak mudah untuk uruskan persatuan dan pasukan bola sepak terutamanya apabila penyokong meletak harapan tinggi. Mereka perlu tahu kita tidak semestinya sentiasa berjaya,” katanya.

Saya tidak mahu jadi orang tamak jawatan, kata Annuar

Annuar Musa letak jawatan presiden KAFA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.