
Dakwaan tersebut dibuat ke atas Goh Hin Calm, pensubahat utama Soh dan Quah.
“Ini kes manipulasi pasaran terbesar dalam sejarah Singapura,” kata satu kenyataan dikeluarkan secara bersama Jabatan Peguam Negara Singapura (AGC), Jabatan Hal Ehwal Komersil Pasukan Polis Singapura (CAD) dan Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS).
Kes itu menyebabkan CAD dan MAS membuat serbuan ke atas lebih 50 lokasi dan menemu bual lebih kurang 70 individu.
Siasatan tersebut merangkumi keterangan berdokumen yang terdiri daripada lebih 2 juta emel, setengah juta arahan transaksi serta ribuan rekod telefon dan penyata kewangan.
Penipuan kompleks dan terperinci dilakukan Soh, Quah dan rakan subahatnya turut melibatkan jaringan sebanyak 180 akaun dagangan bertujuan untuk memanipulasi urus niaga saham Blumont, Asiasons dan LionGold.
Akaun dagangan ini dimiliki 59 individu dan penama korporat yang menyerahkan kawalan akaun mereka kepada Soh dan Quah.
Akaun tersebut diservis 20 wakil perdagangan.
Soh masih melalui proses kebankrapan sejak Januari 2002.
Semasa kesalahan itu dibuat, Quah merupakan pengarah dan ketua pegawai eksekutif IPCO International Ltd manakala Goh adalah pengurus pentadbiran dan kewangan kanan IPCO.
Soh dan Quah, masing-masing didakwa dengan 6 tuduhan berkomplot yang dibuat antara 1 Ogos 2012 hingga 3 Oktober 2013 untuk mencipta gambaran tidak benar berhubung dengan pasaran saham Blumont, Asiasons dan LionGold di bawah Seksyen 197 Akta Niaga Hadapan dan Sekuriti (SFA) serta Seksyen 109 Kanun Keseksaan.
Skim yang menyalahi undang-undang ini membabitkan eksploitasi ke atas lebih 180 akaun dagangan, yang dikawal mereka secara rahsia bagi mencipta ilusi kecairan dan permintaan bagi saham itu dengan membuat beribu-ribu manipulasi perdagangan dalam setiap satu daripada 3 kaunter, termasuk cubaan mengawal bekalan saham tersedia di pasaran bagi mempengaruhi harga kaunter berkenaan.
Goh didakwa dengan 6 tuduhan yang sama di bawah Seksyen 197 SFA dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja membantu Soh dan Quah dalam mewujudkan gambaran tidak benar berhubung dengan pasaran saham Blumont, Asiasons dan LionGold sepanjang tempoh tersebut.
Di samping itu, Soh dan Quah turut didakwa dengan 4 tuduhan di bawah Seksyen 197 SFA dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana berkomplot untuk memanipulasi dan menyokong harga saham kaunter ini pada Ogos, September dan Oktober 2013, tidak lama sebelum harga saham terbabit menjunam pada 4 Oktober 2013.
Bagi membiayai skim mereka, Soh dan Quah berpakat untuk menipu institusi kewangan bagi meminjam sejumlah wang ke dalam akaun yang dikawal mereka.
Soh dan Quah menipu Goldman Sachs International and Interactive Brokers LLC untuk memberi S$170 juta dalam margin pembiayaan ke dalam akaun mereka, dengan menjadikan saham Blumont, Asiasons dan LionGold sebagai cagaran untuk mendapatkan pelanjutan kredit tersebut, dan pada masa sama, menyembunyikan fakta sebenar dari institusi itu pasaran saham dimanipulasi mereka berdua.
Soh dan Quah, masing-masing didakwa dengan 6 tuduhan di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana menipu institusi kewangan.
Mereka juga didakwa dengan 162 tuduhan di bawah Seksyen 201 SFA dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana memberi arahan berkaitan akaun dagangan dimiliki pelbagai penama tanpa mendapat kebenaran institusi kewangan dengan siapa akaun itu dibuka, sekali gus menipu institusi terbabit.
Akhirnya, Soh juga didakwa dengan 3 tuduhan di bawah Seksyen 148 Akta Syarikat disebabkan pembabitannya dalam pengurusan Blumont, Asiasons dan LionGold dibuat ketika beliau masih lagi dalam status bankrap.
Siasatan ke atas pemegang akaun penama dan wakil perdagangan yang mungkin terlibat dalam komplot itu sedang berjalan.
Individu ini termasuk pengarah dan ahli pengurusan kanan di Blumont, Asiasons, LionGold serta syarikat berkaitan.
Tindakan akan diambil terhadap individu ini jika wujud salah laku.