Zahid beri amaran pihak ingin guling kerajaan cara tidak demokratik

zahid-hamidi-malaysia-1

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberi amaran yang beliau tidak akan membiarkan mana-mana pihak menggulingkan kerajaan secara tidak demokratik.

Naib presiden Umno itu berkata demikian ketika berucap merasmikan sayap perwakilan Umno, Pemuda, Wanita dan Puteri pada Perhimpunan Agung Umno 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebentar tadi.

Menurut beliau, sebarang pertukaran tampuk pemerintahan seharusnya diterjemahkan melalui proses pilihan raya.

“Parti mana yang menang maka parti itulah yang sah memerintah negara, tetapi sekarang tidak lagi. Demokrasi kini dipadankan dengan demonstrasi. Bagi mereka, berdemonstrasi dianggap sebagai parameter kepada demokrasi.

“Sesiapa yang menentang amalan demonstrasi, maka mereka dianggap tidak demokratik,” katanya ketika berucap merasmikan sayap perwakilan Umno Pemuda, Wanita dan Puteri pada Perhimpunan Agung Umno 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Tambah Zahid, beliau pernah mengetuai demonstrasi sewaktu di kampus dahulu, namun tujuannya adalah bagi melontarkan harapan rakyat agar kerajaan menyelesaikan permasalahan yang berlaku.

Namun situasi kini berbeza sebagaimana dilakukan pembangkang dimana tujuannya semata-mata bagi menjatuhkan kerajaan.

“Sewaktu di kampus, saya turut memimpin demonstrasi. Ketika itu pemimpin mahasiswa berdemonstrasi untuk menjuarai isu-isu rakyat agar kerajaan mendepani permasalahan rakyat untuk diselesaikan.

“Kami tiada langsung niat menggulingkan kuasa pemerintah. Kini demonstrasi bertujuan sebaliknya,”katanya.

Tambah Zahid, penganjuran demonstrasi zaman kini lebih bersifat menghancurkan negara dan beliau sekali lagi memberi amaran tidak akan melepaskan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang untuk menjatuhkan kerajaan.

“Saya ingin berpesan, wahai mereka yang di sebelah sana, beringat-ingatlah, berpada-padalah, selagi anak Bagan Datoh ini diberikan mandat menakhodai Kementerian Dalam Negeri, saya tidak akan sesekali lalai meneroponginya, saya tidak akan jemu-jemu mencari ubat penyembuhnya, dengan berlaku adil, demi sebuah negara yang sejahtera.

“Saya mesti adil, kuning pun kena, merah pun kena. Saya kena berlaku adil,” katanya.

Sehubungan itu, Zahid mengingatkan ahli Umno supata tidak termakan umpan pihak yang cuba menjatuhkan kerajaan termasuklah bantuan dari luar negara.

Dulu menentang, kini matang, kata Zahid