
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata beliau mengarahkan kertas siasatan itu dilengkapkan secepat mungkin untuk dihantar ke Pejabat Pendakwa Raya.
“Saya percaya kertas siasatan itu akan siap dalam tempoh terdekat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJN), di sini hari ini.
SAC Zainol Samah dilantik ketua JSJN Pulau Pinang berkuat kuasa hari ini menggantikan Datuk Razarudin Husain yang dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah. Zainal sebelum ini bertugas sebagai ketua polis Daerah Dang Wangi.
Sabtu lepas, Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque ditahan untuk membantu siasatan berhubung pameran kartun beliau yang diganggu sekumpulan ahli Pemuda Umno yang diketuai Rafizal Abdul Rahim.
Rafizal berkata kartun lakaran Zunar itu menghina Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan polis merampas semua kartun yang dipamerkan di Komtar untuk siasatan.
Sementara itu ditanya mengenai penubuhan Badan Peronda Sukarela (BPS) oleh kerajaan DAP Pulau Pinang, Abdul Ghafar berkata laporan berhubung perkara itu dihantar ke Bukit Aman untuk tindakan selanjutnya.
“Saya rasa biarlah Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang beri kenyataan atau buat keputusan berhubung perkara itu,” katanya.
BPS dilancarkan pada 12 November dan Ketua Menteri Lim Guan Eng dilaporkan berkata beliau akan mengatur pertemuan dengan Kementerian Dalam Negeri untuk membincangkan mengenai badan peronda yang baru ditubuhkan itu.
BPS ditubuhkan di bawah jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung negeri untuk menjaga keselamatan. Pada masa ini, ia ditubuhkan di 40 kawasan di Pulau Pinang dengan lebih 607 anggota berdaftar.