Bekas exco Pemuda diselar lompat parti

Bekas exco Pemuda diselar lompat parti

Perwakilan Pemuda Umno Tangga Batu berkata parti itu hanya mahu ahli yang setia dan bersyukur.

Zali-Mat-Yasin
KUALA LUMPUR:
Perwakilan Pemuda Umno Tangga Batu Zali Mat Yasin mendakwa bekas exco Pemuda tidak mengenang budi, jika keluar parti.

Meskipun tidak menamakan bekas ahli itu, dipercayai beliau merujuk kepada bekas exco Pemuda Mohd Rafiz Naizamohideen yang mencemar parti bila menjemput bekas presiden parti Tun Dr Mahathir Mohamad pada satu majlis di Melaka.

“Ada segelintir antara orang kita terutama Melayu yang dapat pendidikan cukup sempurna, tapi ada di kalangan kita terlupa, lepas dapat pendidikan, mereka gigit balik jari kita dan tentang kita secara diam-diam.

“Ada mantan exco Pemuda digantung keahlian, tak dipecat pun boleh rayu pada (lembaga) disiplin tapi terus seberang ke parti sebelah,” katanya merujuk pada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Zali berkata demikian ketika membahaskan ucapan presiden mengenai usul agama dan pendidikan.

Pada September, Rafiq digantung keahliannya kerana sengaja mensabotaj Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron selepas menjemput Dr Mahathir ke acara “Bicara Negarawan” ke negeri itu untuk membincangkan masa depan Umno dan pilihan raya umum.

“Kami tidak mahu orang seperti ini. Kami hendak mereka yang tahu bersyukur,” kata Zali.

Pada Oktober, Rafiq bersama 30 ahli Umno mengumumkan keluar Umno, kerana hilang keyakinan terhadap Najib sebagai presiden.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.