Kit Siang gesa laksana ‘rundingan baharu’ Orang Asli

Kit Siang gesa laksana ‘rundingan baharu’ Orang Asli

Katanya, sebagai permulaan Orang Asli sepatutnya mengetuai Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

kit-siang-orang-asli-1
KUALA LUMPUR:
Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda untuk meletakkan Orang Asli setaraf dengan Orang Asal Sabah dan Sarawak dan orang Melayu di semenanjung, kata veteran DAP Lim Kit Siang.

“Orang Asli patut menikmati keistimewaan perlembagaan yang memang untuk mereka,” katanya yang juga ahli Parlimen Gelang Patah.

“Ini termasuk kepentingan dalam pendidikan, perkhidmatan awam, biasiswa dan perniagaan. Rizab tanah mereka juga perlu dilindungi,” katanya.

Dalam mendesak kepada “rundingan baharu” untuk Orang Asli, Kit Siang berkata sekarang masanya untuk bertindak.

Katanya, sebagai permulaan Orang Asli sepatutnya mengetuai Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Beliau berkata ia boleh dianggap sebagai petunjuk kepada 6 dekad dasar dan program dilaksanakan Umno/BN untuk meningkatkan masyarakat Orang Asli.

Kit Siang berkata selepas hampir 6 dekad, kerajaan masih tidak mampu melantik seorang Orang Asli untuk mengetuai Jakoa.

Katanya, DAP akan terus menyokong kedudukan khas orang Melayu, Orang Asal dan Orang Asli seperti termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Ini bermaksud kami mahu membantu semua komuniti yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata kedudukan istimewa ialah untuk mereka yang memerlukan, bukan bagi golongan Umno yang kaya.

Katanya, ia juga bermakna bukan Melayu yang memerlukan bantuan juga perlu diberi akses kepada program tindakan afirmatif.

Orang Asli di semenanjung diabaikan sejak merdeka pada 1957, hampir 60 tahun lalu, katanya.

Kit Siang berkata masyarakat Orang Asli lebih layak menerima kedudukan istimewa kerana mereka sudah berada di sini sejak ribuan tahun, tetapi mereka dilayan seperti orang asing di tanah sendiri.

“Ini ditunjukkan dalam episod terbaru kejadian di Gua Musang di mana 47 Orang Asli ditahan polis hanya kerana memasang sekatan untuk melindungi tanah mereka,” katanya.

Pada 2010, terdapat 178,197 Orang Asli di semenanjung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.