
Presidennya Yusri Ahon berkata setakat ini tidak ada statistik mengenai masalah itu, tetapi situasi pada masa ini cukup membimbangkan.
“Sekarang mereka ketagih alkohol tetapi mereka mungkin beralih ke dadah. Kami tidak pernah menjalankan kaji selidik tetapi kami tahu keadaannya.
“Sudah ada kes salah guna dadah dalam kalangan Orang Asli di beberapa tempat. Kita perlu tangani masalah ini,” katanya kepada FTM.
Tekanan hidup dan pemindahan tempat tinggal
Yusri berkata tekanan hidup dan pengaruh buruk daripada orang lain mendorong sesetengah Orang Asli untuk minum minuman keras.
Katanya, ramai yang bergelut dengan tekanan kerana kehilangan hak adat, tanah dan tempat tinggal serta masalah sosial dan ekonomi lain.
“Mereka tidak boleh lagi masuk hutan untuk cari rezeki seperti dulu. Seperti orang lain, masyarakat Orang Asli juga berdepan kenaikan kos sara hidup,” katanya, yang juga daripada masyarakat Orang Asli suku Jahut dari Pahang.
Beliau berkata sesetengah Orang Asli tidak tahu bagaimana hendak mengendalikan kewangan, akhirnya terlibat dengan masalah duit dan alkoholisme.
“Contohnya masyarakat Orang Asli di Bukit Lanjan dan Bukit Kemandol di Selangor.
“Beberapa tahun lalu, mereka dapat duit daripada pampasan kerajaan kerana tanah diambil. Mereka tiba-tiba ada duit tetapi tidak tahu bagaimana mengendalikannya.
“Ada yang jadi malas. Ada yang beli alkohol. Mereka dapat rumah daripada kerajaan tetapi ada yang tidak dapat bayar cukai pintu kerana tidak ada pendapatan,” katanya.
Yusri berkata sesetengah Orang Asli menghadapi masalah membiasakan diri dengan persekitaran baharu.
“Mereka yang dapat menyesuaikan diri dengan tempat baharu dan bergaul dengan orang lain akan lebih mudah hidupnya,” katanya.
Penyelaras Pusat Prihatinan Orang Asli (COAC) Dr Colin Nicholas berkata masalah ketagihan alkohol dan penyalahgunaan dadah menjejaskan masyarakat Orang Asal di seluruh dunia.
Beliau berkata masalah ini, terutama ketagihan alkohol dalam masyarakat Orang Asli di Malaysia, berlaku selepas mereka dipindahkan dari kawasan asal.
“Anda tidak akan jumpa masalah ini dalam kalangan masyarakat Orang Asli yang masih tinggal di hutan,” katanya.
Nicholas berkata jika masyarakat Orang Asli dipaksa meninggalkan rumah asal tanpa persediaan ke kawasan seperti pinggir luar bandar, atau mendapati kemodenan terlalu dekat, mereka akan terjejas teruk akibat perubahan itu.
“Bagi Orang Asli, autonomi sangat penting. Bila mereka dipaksa menetap di tempat lain atau diletakkan di bawah skim kerajaan, mereka hilang kawalan autonomi kehidupan sendiri,” katanya.
Dalam tempoh 10 hingga 15 tahun lalu, berlaku peningkatan masalah kesihatan mental dalam masyarakat Orang Asli kerana ramai yang tidak dapat menangani tekanan, katanya.
Akses kepada alkohol
Kemudahan mendapatkan alkohol juga menyumbang kepada ketagihan Orang Asli, kerana wujudnya kedai menjual arak tanpa lesen di kawasan mereka.
Diketahui umum yang Orang Asli dengan mudah boleh membeli arak di tempat seperti kedai runcit berhampiran kampung mereka.
Malah, ada yang mendapatkan bekalan daripada penjual yang masuk ke kampung Orang Asli menjual arak.
“Perkara ini berlaku meskipun Akta Orang Asli menyatakan haram membawa masuk alkohol ke perkampungan Orang Asli,” katanya.
Minggu lalu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) membangkitkan masalah arak dan menghidu gam dalam kampung Orang Asli Kensiu di Kampung Lalang, Baling in Kedah.
Ketua masyarakat itu, Razali Kulim, berkata kira-kira separuh daripada 300 penduduk kampung – termasuk wanita dan kanak-kanak – terlibat dalam masalah alkohol dan gam, dan kaunseling gagal menyelesaikan masalah itu.
Nicholas berkata hidu gam jarang berlaku dalam kalangan Orang Asli tetapi dalam kes Kensiu, ia mungkin kerana mudah memperoleh gam.
Menghidu gam – trend yang menjejaskan kanak-kanak dan belia – tidak diharamkan tetapi boleh merosakkan organ dalaman dan otak, selain masalah kesihatan lain.
Gam lebih mudah diperoleh, dijual secara terbuka di kedai dan harganya murah.
Bantuan kerajaan diperlukan
Bagi mencegah belia Orang Asli ketagih alkohol dan dadah, Yusri berkata JOAS mengadakan program untuk mengisi masa terluang golongan muda masyarakat itu.
“Kami tidak ada acara anti-alkohol atau anti-dadah. Kami hanya buat aktiviti yang membolehkan masa terisi, jadi mereka tidak cari cara yang salah untuk berhibur.
“Kami juga harap ibu bapa akan mengawasi anak mereka. Pada saya, pilihan ada di tangan Orang Asli sendiri dan apa yang kita hendak untuk diri sendiri,” katanya.
Beliau berkata JOAS yang mengendalikan kira-kira 100 ahli mewakili Orang Asli di seluruh Malaysia berdepan kekangan dan memerlukan bantuan kerajaan.
“Bagi memerangi masalah sosial seperti ketagih alkohol dan dadah, kami perlu kerjasama agensi kerajaan untuk mencari jalan penyelesaian.
“Jika kaunseling tak berjaya, kami perlu kaji dan cari cara lain,” katanya.
Nicholas berkata kerajaan perlu tanya pandangan Orang Asli mengenai hal pembangunan, isu sosial dan bagaimana untuk melaksanakan dasar yang memberi kesan kepada masyarakat itu.
Dengan kekurangan pendidikan dalam kalangan Orang Asli dan kesedaran tentang bahaya penyalahgunaan dadah, beliau berkata mereka yang ada pengetahuan mengenainya perlu membantu masyarakat Orang Asli.
Katanya, masyarakat India di estet juga berdepan masalah minum todi beberapa tahun lalu dan masalah itu dapat dikawal selepas agensi kerajaan, kumpulan pengguna dan pihak lain bekerjasama menyelesaikan isu itu.
“Jika kita tidak buat perkara sama untuk Orang Asli, masalah itu boleh jadi besar dan akan semakin sukar untuk menanganinya,” katanya.
Kempen kesedaran
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Mohd Jamalludin Kasbi berkata jabatan itu tahu masalah alkohol dan hidu gam yang melanda masyarakat Orang Asli.
Beliau berkata punca utama belia Orang Asli ketagih ialah kerana ibu bapa dan pemimpin masyarakat itu sendiri menghadapi masalah ketagihan kepada bahan berkenaan.
“Masalah itu susah ditangani kerana bekalannya terlalu mudah diperoleh dan dijual murah kepada Orang Asli oleh masyarakat tempatan lain,” katanya dalam satu kenyataan kepada FMT.
Berhubung masalah di Kensiu, Jamalludin berkata ada yang mula minum apabila pekerjaan mereka berkait dengan alkohol.
“Bagi menyelesaikan masalah itu, JAKOA mengadakan kempen kesedaran dengan bantuan agensi lain seperti polis, Agensi Antidadah, Majlis Daerah Baling dan jabatan agama Kedah,” katanya.
Beliau berkata JAKOA berterima kasih kepada NGO yang memberikan bantuan, khidmat nasihat, bantuan kebajikan dan pendidikan kepada masyarakat Orang Asli di seluruh negara.