
PETALING JAYA: Kemerosotan jualan kereta tidak menghalang syarikat tempatan daripada terus melancarkan model baharu pada tahun ini.Proton dan Perusahaan Otomobil Kedua (Perodua), 2 syarikat pengeluar kereta nasional, masih mampu mengeluarkan 5 model baharu, termasuk 2 model menyaksikan kedua-dua syarikat itu mencuba pasaran baharu yang tidak pernah diterokai.
Proton melancarkan 4 model, termasuk Perdana, Saga dan Persona, semuanya kereta yang menumpukan pasaran berlainan. Proton Ertiga pula model kenderaan pelbagai guna (MPV) bersaiz kecil yang pertama dilancarkan Proton.
Bagi Perodua yang mencatatkan kejayaan besar menerusi model Myvi, tahun ini menyaksikan ia melancarkan model sedan pertama, Bezza.
Paling awal melancarkan model baharu tahun ini ialah Proton pada Jun lalu, dengan model Perdana generasi ke-4 pada harga daripada RM113,438 hingga RM138,888.
Dibina oleh Proton dengan kerjasama strategik Honda, pelancaran Perdana yang ditunggu-tunggu ramai pihak dilihat sebagai usaha syarikat itu kembali dalam pasaran kereta segmen D iaitu kereta bertaraf sedan eksekutif.
Pada September pula, Proton melancarkan naik taraf baharu untuk Saga, modelnya yang paling laris, iaitu generasi ke-3 dengan varian 1.3 liter, pada harga RM36,800 hingga RM45,800.
Sebulan kemudian, Proton melancarkan Persona generasi ke-2, iaitu kali pertama ia menggantikan model yang dilancarkan pada 2007 itu.
Persona ditawarkan dengan varian 1.6 liter dan harganya bermula pada RM46,800 hingga RM59,800 seunit.
Namun, model Ertiga bakal menguji Proton dalam pasaran baharu.
Ia merupakan kenderaan MPV dengan saiznya lebih kompak berbanding Exora, hasil kerjasama dengan Suzuki di Jepun.
MPV 6 tempat duduk itu dikuasakan enjin 1.4 liter VVT, dengan harga permulaan RM58,800.
Sementara itu, Perodua hanya melancarkan model baharu Bezza pada Julai, dengan harga RM39,300 hingga RM50,800 untuk spesifikasi tinggi.