Azalina desak tindakan tegas terhadap penjawat awam fitnah kerajaan

Azalina desak tindakan tegas terhadap penjawat awam fitnah kerajaan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri menegaskan, ia bagi mengelakkan salah faham berhubung keputusan kerajaan dikeluarkan sumber tidak sah.

Azalina-Othman

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said menyarankan tindakan tegas terhadap bekas atau penjawat awam yang mengeluarkan kenyataan fitnah dan memberi persepsi buruk kepada kerajaan.

Katanya, ini bagi mengelakkan salah faham daripada sumber tidak sah dan juga mengelakkan salah tafsir berhubung keputusan kerajaan.

“Di bawah Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang memperuntukkan tiada penyata, komen dibenarkan untuk menerbitkan, bercakap tanpa persetujuan terlebih dahulu daripada menteri bertanggungjawab atau jabatan.

“Rasional pelaksanaan peraturan ini adalah bagi mengelakkan salah faham daripada sumber tidak sah dan juga untuk mengelakkan salah tafsir, salah faham berhubung keputusan kerajaan. Peraturan ini terpakai kepada semua kakitangan awam yang masih dalam perkhidmatan,” katanya menerusi kenyataan media.

Tambahnya, penjawat awam bersara daripada perkhidmatan masih tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) yang memperuntukkan kesalahan berhubungan pendedahan tidak dibenarkan berkaitan rahsia rasmi.

“Peruntukan dibawah Akta 88 diwujudkan bagi suatu kesalahan jika seseorang mendedahkan maklumat rahsia rasmi yang diperoleh semasa perkhidmatan selepas bersara.

“Semua kakitangan kerajaan perlu mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan untuk memastikan tiada salah faham timbul di kalangan orang ramai,” katanya.

Bagaimanapun, sebelum ini bekas kakitangan awam dan dan bekas pimpinan kerajaan seperti bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kumpulan pesara kerajaan Melayu (G25) turut lantang mengkritik kerajaan.

Tahun lalu, bekas menteri Kabinet seperti Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Muhyiddin dan Datuk Seri Shafie Apdal turut disiasat polis berikutan kenyataan mereka mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mereka membuat kenyataan kritikan mengenai 1MDB di Dewan Rakyat dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata mereka memungkiri sumpah menyimpan rahsia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.