Lelaki Jerman diculik dari Sabah dalam video IS, diancam pancung

Lelaki Jerman diculik dari Sabah dalam video IS, diancam pancung

Lelaki berusia 70 tahun itu dipercayai diculik dari kapal layarnya di Sabah November lalu.

is-german
CAIRO: Penyokong militan IS semalam memuat naik klip video menunjukkan seorang lelaki warga emas dari Jerman yang dipercayai diculik pengganas Abu Sayyaf pada November lalu.

Video itu menunjukkan lelaki itu berpakaian oren sambil berdiri di hadapan sebuah kubur yang baru digali, sementara anggota militan berpakaian serba hitam di belakangnya bersama bendera IS yang berkibar, mengeluarkan ancaman terhadap kerajaan Jerman.

“Kepada kerajaan Jerman: nampaknya kamu tidak memberi perhatian terhadap tuntutan kami. Kegagalan membayar wang tebusan akan menyebabkan warga Jerman ini dipancung,” kata salah seorang lelaki bertopeng.

Kementerian luar Jerman enggan mengulas, atas dasar kerajaan tidak akan berbincang kes penculikan rakyatnya secara terbuka.

Pada 7 November, tentera Filipina menemui mayat seorang wanita Jerman di dalam sebuah kapal layar dekat perairan selatan negara itu, dan mereka percaya temannya mungkin diculik kumpulan Abu Sayyaf.

Mayat wanita itu ditemui dalam keadaan bogel dengan kesan tembakan, dalam kapal layar yang mengibarkan bendera Jerman dan berlabuh di sebuah pulau terpencil di kepulauan Sulu yang merupakan kubu kuat Abu Sayyaf.

Abu Sayyaf merupakan kumpulan yang ada kaitan dengan al-Qaeda dan melakukan siri penculikan di perairan rantau itu. Beberapa kelompok kumpulan itu turut menyatakan taat setia mereka kepada IS sejak 2014.

Sebelum ini, tentera Filipina berkata pemimpin Abu Sayyaf, Muamar Askali, mendakwa mereka menahan seorang lelaki Jerman berusia 70 tahun selepas memintas kapal layarnya di Sabah seminggu sebelum itu.

Sejak Mac, Abu Sayyaf memintas beberapa bot tunda dekat perairan Malaysia dan Filipina, dan menculik rakyat Indonesia dan Malaysia.

Beberapa tebusan dibebaskan selepas bayaran dibuat kepada Abu Sayyaf, yang terkenal dengan jenayah culik dan bunuh, termasuk 2 warga Canada.

Kumpulan itu kini menahan 15 orang termasuk seorang warga Belanda, 5 rakyat Malaysia, 2 Indonesia dan 7 Filipina.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.