Mengapa polis tak bertindak segera pada pemimpin BN, soal Guan Eng

Mengapa polis tak bertindak segera pada pemimpin BN, soal Guan Eng

Ketua menteri Pulau Pinang mempersoalkan kegagalan polis mengambil tindakan terhadap penulis blog yang mendakwa anaknya mencabul murid perempuan di sekolah 6 tahun lalu.

Lim-Guan-Eng
GEORGE TOWN:
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang sedang disiasat di bawah Akta Hasutan, hari ini mempersoalkan mengapa tiada tindakan “segera” diambil terhadap pemimpin Barisan Nasional (BN) apabila laporan dibuat terhadap mereka.

Beliau berkata demikian susulan “siasatan segera pihak polis” pada 13 Januari terhadapnya di bawah Akta Hasutan, berdasarkan laporan polis 24 November.

Ini menimbulkan kebimbangan serius yang polis dan agensi penguatkuasaan lain menjadi “alat politik kerajaan persekutuan BN untuk melindungi pemimpin pro-BN yang melakukan salah laku semata-mata” dan untuk memusnahkan pemimpin pembangkang.

“Kerajaan persekutuan BN hanya dapat menangkis persepsi negatif dengan mengambil tindakan segera terhadap mereka yang membuat ancaman terhadap keselamatan dan kehidupan rakyat Malaysia yang berani menentang dasar zalim dan kejam BN,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan.

“Adakah Malaysia mengamalkan ‘satu negara, 2 sistem’?”

Guan Eng disiasat polis berhubung kenyataan beliau yang dibuat tahun lalu mengenai cadangan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Guan Eng berkata dalam satu kenyataan yang DAP tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana ia “seperti hudud” dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Beberapa laporan polis dibuat terhadapnya termasuk remaja lelaki berusia 13 tahun di Ampang.

Setiausaha agung DAP dan juga ahli Parlimen Bagan itu berkata “terkejut” remaja berusia 13 tahun itu mempunyai “kuasa memujuk” polis menyiasatnya dan seorang ketua menteri yang dipilih menghabiskan satu jam menjelaskan kenyataan pada November itu kepada polis.

Guan Eng berkata beliau juga diancam dan ahli keluarganya dituduh dengan jenayah yang tidak pernah berlaku, tetapi pihak polis dan kerajaan persekutuan tidak mengambil tindakan pantas terhadap pihak yang membuat ancaman serta tuduhan.

Beliau memberi contoh tuduhan yang dibuat terhadap anak lelakinya 6 tahun lalu yang ketika itu berusia 15 tahun. Anaknya dituduh mencabul kehormatan rakan sekelas perempuan di sekolah di Pulau Pinang.

“Gambar mangsa yang merupakan pemain catur Hong Kong yang tidak pernah menjejakkan kaki di Pulau Pinang atau bertemu anak saya, disiarkan di Internet oleh blog pro-Umno.

“Semua penulis blog itu masih tidak dihukum sehingga ke hari ini, walaupun mereka bertanggungjawab terhadap dakwaan tidak berasas itu.

“Walaupun polis menyiasatnya selama 6 tahun, siasatan masih dijalankan untuk mencari mereka yang menyebarkan berita palsu.

“Tiada tangkapan dibuat,” katanya, merujuk kepada jawapan yang diterimanya di Parlimen daripada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.