
Menurut laporan The Star, Sultan Johor itu berkata hanya berminat dalam menjaga kebajikan rakyatnya, dan bukan politik.
“Saya sudah cakap apa yang perlu. Cukuplah. Saya buat kenyataan berdasarkan fakta dan angka, dan bukannya pada laporan berita barat.
“Saya tidak buat andaian atau menakut-nakutkan, itu saja. Saya tidak mahu merendahkan diri saya,” katanya dipetik daripada The Star.
Sultan Ibrahim berkata demikian ketika diminta mengulas jawapan balas Dr Mahathir terhadap kenyataan Sultan berkenaan, susulan bekas perdana menteri itu sebelum ini berkata pembangunan Forest City akan menyebabkan “kemasukan” rakyat China ke Johor.
Pada Isnin, Sultan Ibrahim memberikan fakta dan alasan mengapa tidak perlu bimbang dengan pelaburan China di Johor. Sultan Ibrahim juga mendakwa Dr Mahathir menakut-nakutkan rakyat dengan memainkan politik perkauman.
Sebagai balasan, Dr Mahathir dalam suratnya kepada The Star yang disiarkan semalam berkata, beliau memetik laporan Bloomberg mengenai butiran Forest City.
Projek Forest City seluas 1,386 hektar itu akan dibina di atas 4 pulau buatan manusia di kawasan Iskandar Malaysia, dijangka mengambil masa 30 tahun untuk siap sepenuhnya.
Ia membabitkan pembangunan prasarana untuk perniagaan, pelancongan, hotel, kediaman dan perkhidmatan.
Sebelum ini, Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin dilaporkan berkata: “Selepas 30 tahun, mungkin akan ada 700,000 warga asing di Johor tetapi bukan semuanya warga China.”