
Panel 3 hakim dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif turut memerintahkan kes Muhammad Safwan Anang, Ehsan Bukharee Badarul Hisham, Adam Adli Abd Halim dan Muhamed Bukhary Mohamed Sofian terus dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
“Saya fikir kami (panel) tidak wajar menggalakkan semua ini (permohonan), anda perlu habiskan masa di mahkamah, biar perbicaraan diteruskan,” kata Md Raus yang bersidang bersama Hakim Datuk Seri Zakaria Sam dan Datuk Dr Prasad Sandosham Abraham.
Keempat-empat mereka merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 23 Mei 2016 yang menolak permohonan mereka untuk mengisytiharkan Seksyen 4(2)(c) dan 4(3) PAA berhubung penyertaan dalam perhimpunan di tempat larangan tidak berperlembagaan serta untuk merujuk isu Perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan.
Md Raus berkata, oleh kerana kes itu di peringkat pembelaan, perbicaraan patut diteruskan dan pihak pembelaan masih mempunyai masa untuk memfailkan permohonan (di mana ada rayuan).
Panel membuat keputusan itu selepas menerima bantahan awal dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Awang Armadajaya Awang Mahmud terhadap rayuan itu.
Mahkamah Sesyen sebelum ini menetapkan 27 Februari untuk sambung bicara.
Pada 2013, Muhammad Safwan, 28, Ehsan Bukharee, 26, Adam Adli, 28, dan Muhamed Bukhary, 27, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap pertuduhan mengambil bahagian dalam perhimpunan di tempat larangan, iaitu Masjid Ar Rahman, dekat Universiti Malaya di Kuala Lumpur pada 2013.
Pada awal prosiding hari ini, Awang Armadajaya dalam hujahnya berkata, permohonan itu sepatutnya dikemukakan di Mahkamah Sesyen sebelum perbicaraan bermula, tetapi dalam kes ini, perayu sudah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi semasa kes pembelaan.
Katanya, di mahkamah lebih rendah (Mahkamah Sesyen), permohonan untuk mengisytiharkan sebarang undang-undang tidak berperlembagaan sepatutnya dibuat mengikut Seksyen 30 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Peguam Eric Paulsen yang mewakili semua perayu, dalam hujahnya memberi contoh kes Karpal Singh yang Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan berkaitan isu Perlembagaan.
Katanya, Mahkamah Sesyen tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar isu berkaitan Perlembagaan.
“Sebab itu kenapa kita ada Seksyen 30 Akta Mahkamah Kehakiman di Mahkamah Sesyen,” jawab Md Sharif.