Bincang dasar, bukan main politik, kata Rahman

Bincang dasar, bukan main politik, kata Rahman

Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata sikap pembangkang yang suka main politik boleh menjejaskan pelaburan dalam negara.

rahman-dahlan
KUALA LUMPUR:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata pembangkang perlu menyatakan dengan jelas pendirian mereka mengenai pelbagai isu, termasuk ekonomi dan dasar asing.

Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata cakap-cakap politik akan menjejaskan pelaburan dan wacana politik sepatutnya mengenai perkara penting.

“Ramai yang cakap politik tetapi semuanya cerita tak masuk akal. Kami mahu tahu apa dasar pembangkang mengenai ekonomi, pendidikan dan dasar asing.

“Kita perlu tahu pendirian mereka mengenai pelbagai isu seperti hak Bumiputera dan subsidi,” katanya kepada wartawan ketika menutup Persidangan Tinjauan Strategik Malaysia Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (Asli) di sini hari ini.

Rahman berkata sikap bermain politik seperti itu akan menjejaskan pelaburan termasuk khabar angin yang menyatakan kerajaan persekutuan tidak ada duit.

Katanya, bajet negara meningkat tetapi malangnya kerajaan persekutuan terpaksa memberi keutamaan kepada projek tertentu.

Beliau berkata hanya kerana sesetengah projek tidak diberikan peruntukan, tidak bermakna kerajaan tidak ada duit dan tuduhan seperti itu tidak adil.

Rahman berkata beliau berharap pembangkang akan menyediakan dasar yang dapat menandingi BN supaya kedua-dua pihak dapat membincangkannya.

“Orang kata kita perlu jadi kerajaan kelas dunia, untuk melaksanakannya kita juga perlu ada pembangkang kelas pertama. Kalau tidak ia tidak akan berjaya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.