
Timbalan Presiden Jaringan Orang SeAsal Malayia (JOAS) Zurdi Baharu berkata pihaknya amat kecewa dengan pihak berkuasa negeri yang tidak mengambil berat nasib masyarakat Orang Asli di bawah pentadbiran mereka.
“Jabatan Perhutanan kata mereka sudah bincang dengan penghulu dan Tok Batin, tetapi dengan saya kenapa mereka tidak berbincang dengan Orang Asli terus?
“Penghulu dan Tok Batin ‘dilantik’ oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan bukan suara sebenar bagi orang asal yang terjejas dnegan isu itu,” katanya.
Zurdi berkata Jabatan Perhutanan dan pihak berkuasa sepatutnya memfokuskan sumber tenaga mereka kepada sesuatu lebih penting, seperti membantu mangsa banjir baru-baru ini dan bersedia untuk kemungkinan hujan semakin lebat dan bah.
“Mereka patut fokus kepada apa yang benar-benar penting untuk rakyat terutama dengan kejadian banjir baru-baru ini, bukannya membazirkan sumber mereka terhadap Orang Asli yang hanya cuba mempertahankan tanah mereka daripada aktiviti pembalakan melampau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
JOAS juga bimbang dengan nasib 5 Orang Asli yang ditahan pada Isnin di Simpang Petei, Gua Musang, susulan sekatan dirobohkan di situ.
“Mereka hanya cuba mempertahankan tanah pusaka yang menjadi sumber kehidupan dan makanan. Itu saja tanah yang mereka ada dan tinggal di sana selama ini,” katanya, menambah penahanan 2 wartawan bebas Channel News Asia yang sedang menghasilkan dokumentari mengenai pembersihan hutan besar-besaran di Kelantan juga sepatutnya tidak berlaku.
Beliau mendesak Jabatan Perhutanan dan kerajaan negeri Kelantan mematuhi keputusan mahkamah baru-baru ini yang memutuskan kerja merobohkan sekatan itu oleh syarikat pembalakan adalah tidak sah, dan perlu berusaha menyelesaikan isu dan tuntutan Orang Asli di situ.
“Seperti yang kita sedia tahu, mahkamah majistret menolak permohonan syarikat itu untuk merobohkan sekatan dibuat Orang Asli, dan memutuskan Orang Asli sebagai pemilik sah tanah berkenaan,” katanya.
Jabatan Perhutanan Kelantan menjalankan operasi merobohkan sekatan itu sejak Isnin. Satu lagi sekatan dirobohkan semalam dengan 16 Orang Asli ditahan, tetapi mereka dibebaskan tidak lama selepas kerja meroboh itu selesai.
2 wartawan masih ditahan di Gua Musang, 16 Orang Asli dibebaskan