
Jurucakap Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Azrul Mohd Khalib berkata ini kerana kedua-dua pihak terlalu banyak berpolitik sehingga menjejaskan sebarang perbincangan mengenai isu sebenar.
Beliau berkata ahli politik parti pemerintah perlu berhenti menggambarkan pembangkang sebagai pihak yang menganggu pentadbiran negara.
Kritikan beliau turut disasarkan kepada pembangkang.
“Pembangkang juga perlu menghentikan amalan menuduh kerajaan sebagai punca segala kelemahan yang berlaku,” Azrul memberitahu FMT.
Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan, yang berkata pembangkang perlu bercakap mengenai dasar dan bukan berpolitik semata-mata dalam kritikan mereka terhadap kerajaan.
“Orang kata kita perlu jadi kerajaan kelas dunia, untuk melaksanakannya kita juga perlu ada pembangkang kelas pertama. Kalau tidak ia tidak akan berjaya,” katanya pada Selasa.
Azrul berkata sebarang perdebatan mengenai dasar perlu bersandarkan bukti dan peraturan ketelusan.
Menurutnya, kedua-dua Barisan Nasional dan pembangkang yang didominasi Pakatan Harapan perlu disalahkan kerana hanya berpolitik.
“Pasti ada 2 pendapat dalam sesuatu perbincangan dan adalah wajar ia difahami dan diterima,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik Dr James Chin dari Institut Asia di Universiti Tasmania berkata politik di Malaysia masih dibelenggu soal kaum dan agama, menyukarkan perkembangan politik isu.
“Yang menjadi tajuk besar ialah bicara kaum dan agama,” beliau memberitahu FMT.
“Untuk masyarakat Melayu, isunya Islam. Untuk masyarakat Cina, isunya pendidikan Cina.
“Setiap perkara di Malaysia akhirnya terkait kepada agama dan kaum.”