Operasi 50 pencawang TNB di Pahang, Johor dihenti

Operasi 50 pencawang TNB di Pahang, Johor dihenti

Tindakan ini untuk mengelak kejadian litar pintas dan bekalan elektrik akan disambung semula sebaik sahaja keadaan lebih selamat.

50-pencawang-TNB-di-Pahang
KUALA LUMPUR:
Operasi 50 pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di kawasan yang dilanda banjir di Pahang dan Johor dihentikan mulai 12 tengah hari ini.

Pengurus Besar Kanan (Rangkaian Pengedaran) TNB Wan Nazmy Wan Mahmood berkata jumlah itu melibatkan 44 pencawang elektrik di Pahang dan 6 di beberapa kawasan di Johor.

Beliau berkata penghentian sementara operasi pencawang berkenaan menjejaskan 3,307 pengguna di Pahang dan 328 lagi di Johor.

“Tindakan itu diambil bagi mengelak kejadian litar pintas dan penyambungan semula bekalan elektrik akan dibuat dengan kadar segera sebaik sahaja ia selamat dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, operasi bagi 18 pencawang elektrik di Pahang dan 3 di Johor sudah pulih dan beroperasi seperti sedia kala.

TNB turut membuka bilik gerakan banjir di kedua negeri itu bagi memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini mengenai bekalan elektrik.

Orang ramai boleh menghubungi talian TNB Careline di 15454 bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan bekalan elektrik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.